HEADLINES

Kerajaan setuju naikkan adunan biodiesel kepada B15 tanpa kos tambahan: Akmal Nasrullah

Pelaksanaan B10 yang sedang berjalan membuktikan asas pelaksanaannya telah wujud, sekali gus membolehkan peningkatan adunan biodiesel dilaksanakan menggunakan infrastruktur sedia ada

8:18 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju meningkatkan kadar adunan biodiesel daripada B10 kepada B15 bermula dengan B12 tanpa melibatkan sebarang kos tambahan susulan krisis di Asia Barat. 

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata langkah tersebut bertujuan menjamin ketersediaan bekalan diesel negara bagi tempoh lebih lama, selain mengurangkan kebergantungan tinggi terhadap import bahan api fosil dan pasaran luar serta menekankan bahawa penstrukturan semula ekonomi menerusi peralihan kepada tenaga boleh baharu (TBB) perlu dipercepat.

Beliau berkata pelaksanaan B10 yang sedang berjalan membuktikan asas pelaksanaannya telah wujud, sekali gus membolehkan peningkatan adunan biodiesel dilaksanakan menggunakan infrastruktur sedia ada.

“Sebagai langkah jangka sederhana kita mesti mempercepat penstrukturan semula ekonomi melalui peralihan kepada TBB supaya sumber tenaga lebih terjamin secara domestik.

“Dalam konteks ini, kerajaan bukan sahaja menstabilkan bekalan dan harga tetapi turut membina daya tahan jangka panjang memandangkan pemulihan krisis ini dijangka mengambil masa sehingga 18 bulan,” katanya pada taklimat krisis tenaga global hari ini. 

Akmal Nasrullah berkata fakta semasa menunjukkan negara berada pada kedudukan membolehkan langkah tersebut dipercepat.

“Pada 2025, pengeluaran biodiesel Malaysia berjumlah 975,207 tan metrik, meskipun kapasiti pengeluaran mencecah 2.36 juta tan metrik.

“Ini menunjukkan bahawa asas industri, rantaian bekalan dan keupayaan campuran sudah pun tersedia, dan hanya perlu diperkukuh secara tersusun untuk memberi manfaat lebih besar kepada negara,” katanya.

 Pada masa sama, menerusi lawatan kerja ke Syarikat PS Pipeline Sdn Bhd (syarikat usaha sama antara Petronas Dagangan Bhd dan Shell Malaysia Trading Sdn Bhd) di Terminal Pengagihan Lembah Klang (KVDT) menunjukkan bahawa kesiapsiagaan infrastruktur, pengendalian dan kemudahan pengadunan telah pun dinilai secara langsung. 

Beliau juga berkata Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) hari ini pada dasarnya bersetuju bahawa biodiesel merupakan salah satu sumber biobahan api alternatif paling praktikal dan sedia dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

“Kerajaan perlu memilih langkah yang boleh digerakkan segera, memberi kesan langsung dan berpaksikan keupayaan domestik sedia ada.

“Biodiesel memenuhi keperluan tersebut kerana ia merupakan sumber tenaga alternatif, membantu mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil sedia ada yang semakin tidak menentu,” katanya. 

Selain itu, Akmal Nasrullah berkata penggunaan biodiesel mampu memanjangkan bekalan diesel negara (melambatkan kadar penyusutan), disokong pelan mitigasi serta naik taraf depoh B20 dan B30 di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 termasuk persediaan ke arah mandat B30 bagi sektor komersial dan awam.

“Kerajaan akan mengadakan libat urus bersama pihak Oil Industry Technical Committee (OITC) bagi memastikan pelaksanaan ini berjalan dengan teratur,” katanya. 

Menurutnya, kerajaan akan terus memantau perkembangan global, memastikan bekalan tenaga kekal mencukupi serta mempercepat reformasi ke arah sistem tenaga lebih berdaya tahan sebagai keperluan strategik negara. – 14 April, 2026

Topics

 

Hangat

Apad confirms inDrive licence revoked effective July 24, but company can appeal

Russian-based company can file appeal through the agency for the Transport Ministry's consideration

Over 23.6 million to benefit as new electricity tariff kicks in July 1

The Energy Commission has set a new average base tariff of 45.40 sen/kWh for RP4, slightly lower than before, bringing overall electricity costs down by up to 19% compared to the previous regulatory period

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

Related