KOTA BHARU – Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) berpotensi diangkat sebagai hab serantau yang strategik termasuk bagi pasaran Selatan Thailand, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata melalui perancangan strategik yang tepat, pembukaan jaringan pengangkutan antarabangsa dari LTSIP ke bandar-bandar utama seperti Singapura, Jakarta (Indonesia) dan Bangkok (Thailand) bakal membawa limpahan manfaat ekonomi yang besar kepada Kelantan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata pendekatan lebih terbuka dalam menyokong pembangunan infrastruktur pengangkutan sedemikian bukan sahaja memberi kelebihan kepada rakyat tempatan, tetapi juga menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara secara menyeluruh.
“Selain daripada memenuhi keperluan rakyat yang memanfaatkan kemudahan ini, ia adalah satu keperluan untuk kita meningkatkan kegiatan ekonomi, perdagangan, dan pelancongan.
“Potensi yang ada pada Kelantan tidak mungkin terpinggir atau terabai jika kita memberikan sedikit perhatian dan tumpuan,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian terminal baharu LTSIP) di sini hari ini.
Anwar berkata langkah proaktif itu dijangka merancakkan lagi ekonomi tempatan, sekali gus meletakkan Kelantan di landasan tepat untuk terus maju seiring dengan arus pembangunan negara.
Beliau turut memuji kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Kelantan dalam memastikan kelancaran serta kejayaan projek LTSIP yang bernilai RM440 juta.
Perdana Menteri menjelaskan projek berskala besar itu, yang menelan belanja hampir setengah bilion ringgit sekiranya mengambil kira kos pemanjangan landasan, tetap diteruskan atas faktor nilai strategiknya kepada negara meskipun berdepan kekangan ekonomi semasa ia diputuskan dilaksanakan.
Anwar berkata kerajaan sentiasa mengambil pendekatan realistik dalam merangka pembangunan negara dengan mengetepikan sebarang perbezaan pandangan sekiranya ia membawa manfaat kepada rakyat.
“Meskipun ada pandangan-pandangan di sebaliknya, kita (kerajaan) mengambil pendekatan yang sangat realistik. Apabila ada keperluan dan rundingan yang baik, kita teruskan,” kata beliau. – 18 April, 2026
