SEGAMAT – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan syarikat telekomunikasi telah diminta menyelesaikan masalah capaian Internet di sepanjang laluan perkhidmatan tren elektrik (ETS) dalam tempoh sebulan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, ia selaras langkah Kementerian Komunikasi untuk menerapkan prinsip “di mana ada tren, di situ ada Internet” dalam usaha meningkatkan capaian Internet di sepanjang laluan perkhidmatan ETS berkenaan.
Jelasnya, ia merupakan peluasan kepada prinsip yang digunakan sebelum ini iaitu “di mana ada jalan, di situ ada Internet”.
“Ini antara usaha yang diambil, dan saya berharap pengguna perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan rasa lebih selesa untuk terus saling berhubung atau bekerja semasa dalam perjalanan ke destinasi,” katanya, lapor Bernama.
Beliau berkata demikian semasa sesi pengujian kelajuan Internet dalam perkhidmatan ETS bagi laluan KL Sentral-Segamat hari ini.
Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah dan Pengarah Urusan MCMC, Abdul Karim Fakir Ali.

Menurut Fahmi, ujian kelajuan Internet rangkaian 4G dan 5G dilaksanakan oleh MCMC dengan kerjasama enam penyedia perkhidmatan rangkaian mudah alih utama iaitu CelcomDigi, Maxis, U Mobile, TM Tech, YTL Communications dan Digital Nasional Berhad (DNB).
Beliau berkata bukan hanya capaian Internet bagi perkhidmatan ETS yang perlu ditambah baik tetapi juga keseluruhan perkhidmatan KTMB sejauh 1,700 kilometer hingga ke Tumpat, Kelantan.
Bagi tujuan itu, Fahmi meminta MCMC, KTMB dan Perbadanan Aset Keretapi (RAC) serta keenam-enam syarikat telekomunikasi untuk mengadakan bengkel dalam masa terdekat bagi mengenal pasti masalah capaian Internet dan titik buta di seluruh jajaran perkhidmatan KTMB.
Beliau berkata pihak berkenaan perlu mengenal pasti langkah penyelesaian segera dan langkah jangka panjang yang boleh diambil.
“Saya dimaklumkan RAC dan KTMB ada menyediakan perkhidmatan tertentu termasuk wi-fi namun kita perlu lihat secara keseluruhan carrier agnostic.
“Kita tidak kisah syarikat mana asalkan ada beberapa infrastruktur pasif sama ada menara mahupun beberapa perkakasan lain yang boleh dilengkapi… maka, semua syarikat telekomunikasi sepatutnya memanfaatkan apa yang telah disediakan,” katanya.
Sepanjang perjalanan dari KL Sentral-Segamat, Fahmi turut melakukan dua ujian kelajuan Internet iaitu di Stesen Kajang dan Stesen Pulau Sebang/Tampin.
Sementara itu, MCMC dalam kenyataan di Facebook berkata, dapatan awal daripada ujian yang dijalankan menunjukkan liputan 5G kini mencapai 71 peratus kawasan namun beberapa lokasi tertentu dikenal pasti memerlukan penambahbaikan lanjut.
Sehubungan itu, MCMC berkata, pihaknya akan terus memperkukuh pemantauan dan bekerjasama rapat dengan pihak industri bagi memastikan jurang liputan dapat ditangani secara berkesan, seterusnya memenuhi keperluan rakyat terhadap perkhidmatan komunikasi yang mampan dan berdaya tahan.
“MCMC telah melaksanakan ujian kelajuan dan kualiti liputan rangkaian 4G dan 5G sepanjang laluan Kereta Api Elektrik (ETS) dari KL Sentral ke Segamat, Johor, yang turut disertai oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
“Ujian ini melibatkan kerjasama strategik bersama penyedia perkhidmatan rangkaian mudah alih bagi menilai prestasi liputan secara masa nyata di sepanjang salah satu koridor pengangkutan utama negara,” katanya.
Menurutnya, pelaksanaan ujian ini merentasi beberapa negeri termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor dengan pengukuran meliputi parameter teknikal seperti kelajuan muat turun dan muat naik, kestabilan sambungan serta kesinambungan liputan. – 19 April, 2026
