HEADLINES

Kesuma nafi dakwaan sistem pengambilan pekerja asing digital sudah dimuktamadkan

Kementerian tegaskan cadangan masih diteliti, libat urus bersama negara sumber dan industri sedang berjalan

11:28 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Cadangan pelaksanaan sistem pengambilan pekerja asing secara langsung menerusi platform digital masih di peringkat penelitian dan belum dimuktamadkan, tegas Kementerian Sumber Manusia (Kesuma).

Menurut kementerian itu, terdapat pelbagai laporan serta tafsiran berbeza yang menimbulkan kekeliruan, termasuk gambaran seolah-olah keputusan telah dibuat.

“Sebarang dakwaan bahawa keputusan telah dimuktamadkan adalah tidak benar dan tidak mencerminkan kedudukan sebenar kerajaan,” kata Kesuma dalam kenyataan hari ini.

Kementerian menjelaskan, kajian menyeluruh terhadap ekosistem pekerja asing mendapati wujud kelompongan dalam komponen perekrutan di negara sumber, khususnya melibatkan ikatan hutang yang ditanggung pekerja.

“Sehubungan itu, kementerian sedang meneroka keperluan untuk membangunkan platform digital berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi menambah baik ekosistem pengambilan pekerja asing secara menyeluruh,” jelas kenyataan itu.

Pendekatan baharu ini, menurut Kesuma, membolehkan pengambilan secara langsung oleh majikan berdasarkan keperluan sebenar tenaga kerja, merangkumi keseluruhan proses di negara sumber termasuk pendaftaran, pemilihan, padanan pekerjaan, persetujuan kontrak perkhidmatan serta fasilitasi penghantaran pekerja.

Kos perekrutan juga akan ditanggung sepenuhnya oleh majikan, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah dan memastikan tiada beban kewangan dikenakan kepada pekerja asing.

“Cadangan ini selaras dengan prinsip pengambilan pekerja yang adil dan beretika seperti digariskan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), selain berpotensi menangani isu pemerdagangan orang dan buruh paksa,” tambah kenyataan itu.

KESUMA menekankan sistem tersebut akan diintegrasikan dengan platform kerajaan sedia ada seperti Foreign Worker Centralised Management System (FWCMS) dan National Integrated Immigration System (NIISe).

Selain itu, sesi libat urus awal sedang dijalankan bersama negara sumber tenaga kerja seperti Bangladesh, Indonesia dan India, selain pemain industri serta penyedia teknologi berkaitan.

“Sebarang keputusan kelak akan melalui proses pertimbangan serta kelulusan Kabinet selepas libat urus menyeluruh dengan semua pihak berkepentingan,” ujar Kesuma.

Kementerian turut menegaskan komitmen memperkukuh pembangunan bakat tempatan sebagai teras utama reformasi pasaran buruh negara, selaras agenda jangka panjang untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing seperti digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13). – 21 April, 2026

Topics

 

Hangat

Three JDT players banned following FIFA ruling: MFL CEO

League to enforce suspensions as FAM prepares appeal over FIFA’s ruling on heritage player

End of Bumiputera majority stake? Sunway makes RM3.15 per share takeover offer for IJM Corp

Despite earlier denials, Sunway’s bid to acquire IJM Corp could reshape Malaysia’s construction sector

OCM in the spotlight again: Skechers collab draws flak after brand linked to Israel

With shoe sponsorship amounting to almost RM200,000, Datuk Nazifuddin Najib says sports should be free from any agenda as the aim is to provide comfort to athletes

Related