HEADLINES

Letupan mercun cetus kekecohan, polis akan panggil penganjur Himpunan Tangkap Azam Baki

Polis turut mengesan satu lagi bungkusan dipercayai mengandungi mercun yang tidak sempat dinyalakan di lokasi kejadian

8:33 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Polis akan memanggil penganjur serta peserta perhimpunan “Tangkap Azam Baki” bagi membantu siasatan insiden letupan mercun di hadapan Kompleks SOGO, di sini yang mencetuskan kekecohan, petang tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Sazalee Adam, siasatan berhubung insiden berkenaan dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian serta individu yang bertanggungjawab.

Bagaimanapun katanya, tiada kecederaan atau kerosakan harta benda dilaporkan.

“Pada permulaan perhimpunan terdapat sedikit kekecohan melibatkan pembakaran mercun, namun tiada kecederaan atau kerosakan harta benda dilaporkan,” katanya, lapor Bernama.

Sazalee memberitahu, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 6 dan 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan pihaknya akan melengkapkan siasatan dengan memanggil semua individu berkaitan termasuk saksi bebas.

“Kita akan panggil mana-mana pihak yang terlibat dalam perhimpunan ini serta saksi yang melihat kejadian pembakaran mercun bagi membantu siasatan,” katanya.

Polis juga, ujar beliau, tidak menolak kemungkinan wujud unsur sabotaj, namun perkara itu masih dalam siasatan dan belum dapat disahkan berikutan kekurangan bukti setakat ini.

Sazalee berkata pihaknya turut mengesan satu lagi bungkusan dipercayai mengandungi mercun yang tidak sempat dinyalakan di lokasi kejadian.

“Kita belum dapat mengenal pasti siapa yang membekalkan atau bertanggungjawab terhadap mercun tersebut dan siasatan lanjut sedang dijalankan. Bahan letupan yang digunakan adalah mercun biasa dan bukan bahan berbahaya lain,” tegasnya, sambil menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi.

Beliau berkata perhimpunan itu yang bermula sekitar 3 petang di hadapan SOGO sebelum peserta berarak ke Jalan Tuanku Abdul Rahman dan berakhir 5.35 petang, melibatkan kira-kira 300 peserta dan diadakan tanpa sebarang pemakluman rasmi kepada pihak polis.

Dalam pada itu, Sazalee memaklumkan kira-kira 200 anggota polis daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur serta pasukan berkaitan ditugaskan bagi memastikan keselamatan sepanjang perhimpunan.

“Setakat ini, kita juga tidak menerima sebarang laporan polis daripada peniaga di kawasan terlibat bagi kerosakan harta benda,” katanya. – 25 April, 2026

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

Brunei’s DPMM FC returns as invited team for 2025–26 Super League season

MFL confirms DPMM FC’s participation with FIFA approval as 14 clubs line up for new season under stricter financial rules

Related