◉ HEADLINES

PAS tidak wajar campur urusan berkaitan disiplin Bersatu

Bersatu berpandangan isu-isu yang dibangkitkan oleh Hadi sepatutnya dibawa ke meja musyawarah antara kedua-dua parti dan diselesaikan secara dalaman dengan penuh harmoni

8:48 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Sebagai salah satu parti dalam gabungan Perikatan Nasional (PN), PAS sewajarnya menghormati dan tidak mencampuri urusan dalaman parti anggota yang lain berkaitan hal disiplin dan tindakan-tindakan yang diambil untuk menstabilkan parti.

Perkara berkenaan ditegaskan oleh Biro Politik Bersatu menerusi satu kenyataan media bagi menjawab beberapa perkara yang dibangkitkan oleh Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang beberapa hari lepas.

“Beberapa asas yang akan dipertimbangkan oleh parti PAS untuk mengkaji semula hubungan dengan Bersatu, antaranya isu pertukaran Menteri Besar Perlis, tuduhan Bersatu tiada jentera pilihan raya, tindakan disiplin terhadap ahli-ahli parti serta krisis politik di Negeri Sembilan.

“Bersatu berpandangan bahawa isu-isu ini sepatutnya dibawa ke meja musyawarah antara kedua-dua parti dan diselesaikan secara dalaman dengan penuh harmoni.

“Bersatu ingin melahirkan rasa kesal terhadap tuduhan-tuduhan yang dilemparkan oleh Presiden PAS dan Bersatu berpegang kepada prinsip musyawarah dan perbincangan dalam Mesyuarat Tertinggi (MT) PN berhubung perkara dasar dan perkara yang berbangkit dalam kerjasama PN,’’ katanya.

Pada Jumaat, Hadi pada sidang media berkata, PAS akan menilai semula hubungan dengan Bersatu dengan beberapa tindakan dilihat melanggar semangat setia kawan parti gabungan PN.

Terkini, kata Hadi adalah Bersatu memecat beberapa Exco Kerajaan Kedah serta Timbalan Yang Dipertua DUN Kelantan, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi.

Berikutan itu, bagi menjawab mengenai pemecatan exco dan Timbalan Speaker itu, Biro Politik Bersatu berkata, setiap parti politik mempunyai tatacara etika serta disiplin yang perlu dipatuhi oleh ahli-ahlinya.

“Keberadaan exco dan Timbalan Speaker tersebut di jawatan mereka adalah atas kapasiti sebagai ahli Bersatu dan apabila Lembaga Disiplin mengambil tindakan disiplin dan mereka tidak lagi menjadi ahli parti, maka Bersatu menghantar cadangan nama pengganti.

“Adalah menjadi amalan biasa rombakan dibuat apabila terdapat ahli parti yang memegang jawatan dalam kerajaan diambil tindakan disiplin oleh partinya,’’ katanya.

Tegasnya, tindakan disiplin yang diambil mengikut lunas perlembagaan adalah kaedah penting dalam mana-mana parti untuk menjamin kestabilan dan integriti parti terutama ketika berdepan dengan krisis yang boleh memecah-belahkan parti.

Malah, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) sendiri mengesahkan melalui surat bertarikh 7 Mei lalu bahawa Bersatu telah mengambil tindakan selaras dengan peruntukan perlembagaan parti dan berpuas hati dengan tindakan serta keputusan itu.

Biro politik Bersatu turut menyatakan, adalah menjadi amalan PN semua perkara penting mengenai dasar dan halatuju PN serta isu-isu berbangkit dibawa ke mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN, dibahas dan diputuskan secara musyawarah.

Perkara ini, katanya, diamalkan sejak PN dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin justeru adalah tidak wajar keputusan-keputusan MT PN dicabar atau dipertikaikan di luar MT yang memberi gambaran seolah ada Presiden parti yang diberikan kuasa veto.

“PN telah melalui pelbagai cabaran dan rintangan dalam perjalanan ini tetapi masalah yang besar berjaya dirungkai dengan semangat dan keluhuran prinsip dan kebijaksanaan kepimpinan,’’ katanya. – 24 Mei, 2026

Topics

 

◉ Hangat

Over 23.6 million to benefit as new electricity tariff kicks in July 1

The Energy Commission has set a new average base tariff of 45.40 sen/kWh for RP4, slightly lower than before, bringing overall electricity costs down by up to 19% compared to the previous regulatory period

Can Malaysians be more friendly? Country 24th in friendliness, welcome for expats

2024 ranking a slide from 15th spot in previous year, locals in Philippines, Indonesia and Thailand easier to befriend

RM4,000 grant to scrap old car, buy new Proton, Perodua

Under Budget 2026, government and national car makers to provide the grant to ensure better road safety

◉ Related