HEADLINES

Insiden FSO Sepat: Petronas sahkan tiga pekerja kontraktor maut, seorang parah bot jatuh dari pelantar

Proses bedah siasat terhadap tiga pekerja kontraktor yang maut akan dijalankan pada jam 8.30 pagi ini, manakala mangsa yang cedera parah masih menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ)

9:40 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Petronas hari ini mengesahkan satu insiden ketika kerja-kerja penyelenggaraan bot penyelamat di Kemudahan Penyimpanan dan Pemindahan Terapung (FSO) Sepat di luar pantai Terengganu semalam yang mengakibatkan tiga maut manakala seorang cedera parah.

“Dukacita dimaklumkan bahawa tiga pekerja telah disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu pada kira-kira jam 5.57 petang semalam manakala seorang lagi petugas yang cedera sudah dipindahkan bagi menerima rawatan perubatan dan masih di bawah pemerhatian,” menurut Petronas dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Petronas, siasatan mengenai punca kejadian masih dijalankan dan dengan kerjasama pihak berkuasa yang berkaitan.

“Petronas merakamkan ucapan takziah kepada keluarga, sahabat dan rakan sekerja mangsa yang meninggal dunia. Keutamaan segera syarikat ini adalah untuk memberi sokongan terhadap kebajikan mereka yang terjejas,” tambah syarikat itu.

Terkini, proses bedah siasat terhadap tiga pekerja kontraktor yang maut akan dijalankan pada jam 8.30 pagi ini.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Ahmad Fiqri Zakaria, 38, dari Taman Merdeka Batu Berendam, Melaka, Muhammad Faezuan Hakim Mohammad Bustamam, 28, dari Jalan Kampung Jawa, Kuantan, Pahang dan Nik Muhammad Hafifi Asri Ab Majid, 37, dari Bandar Indera Mahkota, Kuantan, Pahang.

Seorang lagi mangsa, Mohd Taufik Mohd Ruslan, 37, dari Banting, Selangor dilaporkan mengalami cedera parah akibat patah tulang dan masih menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Azli Mohd Noor berkata, buat masa ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Jelas Azli, insiden berlaku pada kira-kira jam 12.50 tengah hari ketika keempat-empat mangsa menaiki bot penyelamat yang berada di atas platform untuk turun ke laut bagi menjalankan kerja penyelenggaraan di bahagian bawah platform berkenaan.

“Bagaimanapun, tali atau cangkuk (hook) yang dipasang pada bot itu dipercayai tercabut secara tiba-tiba.

“Kejadian itu menyebabkan bot bersama semua mangsa terjatuh ke dalam laut,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, pasukan penyelamat kemudian turun ke lokasi sebelum berjaya menyelamatkan mangsa dan membawa mereka naik semula ke platform.

Katanya, semua mangsa kemudian diterbangkan menggunakan helikopter ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), Kuala Nerus kira-kira jam 4 petang sebelum dihantar ke Unit Kecemasan HSNZ untuk menerima rawatan lanjut.

“Tiga daripada mangsa kemudian disahkan meninggal dunia manakala seorang lagi cedera parah,” katanya. – 25 Mei, 2026

Topics

 

Hangat

Short-lived La Niña expected in early 2026, but stable weather to follow

MetMalaysia forecasts cool conditions and brief shifts in rainfall patterns before returning to normal

Govt has settled RM42bil of 1MDB debt, total obligations exceed RM50bil: Anwar

Anwar reveals over RM9 billion in remaining debt, with government funds covering the shortfall

Solat Jumaat di pusat beli-belah: Zulkifli galak negeri lain turut serta

Menteri Agama Dr Zulkifli Hasan mengalu‑alukan negeri lain mencontohi Wilayah Persekutuan yang sudah mula laksana solat Jumaat di pusat beli‑belah, sambil merancang perluasan ke terminal, lapangan terbang dan R&R lebuh raya

Related