HEADLINES

Pembinaan Hospital Awam PJ diluluskan, konsep ‘vertikal’ 500 katil jadi pilihan: Amirudin

Selangor beri jaminan segerakan urusan tanah bagi memastikan fasiliti berkonsep menegak itu dapat beroperasi segera untuk warga PJ, Subang Jaya dan Puchong

2:28 PM MYT

 

KUALA LUMPUR — Penduduk di Daerah Petaling bakal menikmati kemudahan kesihatan yang lebih dinamik selepas Kementerian Kesihatan (KKM) secara rasmi memuktamadkan persetujuan lokasi tapak bagi pembinaan Hospital Awam Petaling Jaya.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, keputusan kritikal itu dicapai susulan mesyuarat penyelarasan pada 14 Mei lalu yang melibatkan agensi Persekutuan, negeri, dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Menurut beliau, pembinaan hospital baharu itu bakal menggunakan konsep menegak (vertikal) bagi mengoptimumkan penggunaan tanah serta kos keseluruhan projek.

“Lokasi tersebut membolehkan Hospital Petaling Jaya dengan kapasiti 500 katil didirikan dengan konsep vertikal seperti yang dilaksanakan di Hospital Ampang.

“Ia membolehkan projek berjalan tanpa perlu bergantung kepada keluasan tanah yang terlalu besar, sekali gus mengoptimumkan kos bagi pihak KKM,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Amirudin menjelaskan bahawa pengumuman ini mencerminkan kebersamaan utuh antara Putrajaya dan Shah Alam dalam memuktamadkan urusan kesihatan awam, sebagaimana yang termaktub di bawah Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Usaha menjejaki tapak bersesuaian ini sebenarnya telah digerakkan secara agresif oleh kerajaan negeri sejak tahun 2018 demi menampung keperluan mendesak populasi Daerah Petaling yang kini melonjak kepada 2.3 juta orang, termasuk 800,000 penduduk di Petaling Jaya sahaja.

Buat masa ini, fasiliti kesihatan sedia ada di daerah tersebut dilaporkan sangat padat dengan penduduk terpaksa bergantung kepada tiga hospital utama iaitu Hospital Sungai Buloh yang berkapasiti 1,037 katil, Hospital Shah Alam dengan 490 katil, serta Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) yang menyediakan 946 katil.

Mengulas lanjut, Amirudin menegaskan Selangor mempunyai rekod prestasi yang baik dalam bekerjasama dengan KKM untuk menyelesaikan isu kesesakan akses kesihatan awam melalui penyediaan tanah negeri.

Beliau memetik kejayaan pembinaan Hospital Cyberjaya yang berkapasiti 288 katil dan Hospital Tanjong Karang dengan 150 katil yang siap pada 2022, serta Hospital Kapar berkapasiti 312 katil yang dijadualkan siap pada akhir tahun ini bagi mengurangkan beban Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.

Sebagai langkah segera, satu lawatan tapak bersama agensi KKM dan pegawai kerajaan negeri termasuk Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), dan Pejabat Daerah Petaling akan dilaksanakan minggu ini.

“Kerajaan Negeri Selangor bersedia memudahcara dan menyegerakan proses urusan tanah supaya pembinaan Hospital Petaling Jaya oleh KKM dapat membawa manfaat segera kepada penduduk Daerah Petaling, khususnya di kawasan Petaling Jaya, Subang Jaya, dan Puchong,” katanya. – 27 Mei, 2026

Topics

 

Hangat

Jangan buang kucing di pasar, hantar ke pusat perlindungan jalan terbaik

Tindakan itu juga satu kesalahan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015

DoSM estimates Malaysia’s population to be 34.1 mil in 2024

Three states with the highest population are Selangor, Johor, Sabah

22.4% fail SPM Maths — ‘That’s not just a number, it’s a national warning’

Poor foundational skills and declining global rankings signal long-term risks for Malaysia’s STEM talent pipeline, warns UKM academic

Related