HEADLINES

Lima maut nahas Kluang: Pemandu pandu melulu ditahan bantu siasatan

Polis berkata lelaki berusia 19 tahun itu dipercayai memandu Mercedes Benz A250 secara laju dan melulu bersama sebuah BMW 530e dipandu lelaki tempatan berusia 22 tahun yang juga abangnya

9:02 AM MYT

 

JOHOR BAHRU – Polis menahan seorang lelaki tempatan bagi membantu siasatan kes kemalangan membabitkan lima kenderaan yang menyebabkan lima individu maut di Kilometer 27, Jalan Renggam–Simpang Renggam, Kluang.

Ketua Polis Daerah Kluang ACP Bahrin Mohd Noh berkata lelaki berusia 19 tahun itu dipercayai memandu Mercedes Benz A250 secara laju dan melulu bersama sebuah BMW 530e dipandu lelaki tempatan berusia 22 tahun yang juga abangnya.

Beliau berkata kemalangan pada 1.15 tengah hari itu berlaku apabila BMW 530e hilang kawalan di lokasi kejadian sebelum memasuki laluan bertentangan dan melanggar Perodua Alza, Toyota Vios, Proton Wira dan sebuah lagi Mercedes Benz.

Kemalangan itu menyebabkan pemandu BMW 530e maut selepas kenderaannya memasuki gaung, serta empat yang lain, iaitu pemandu Toyota Vios, lelaki tempatan berusia 36 tahun, isteri berusia 33 tahun, dua ahli keluarga wanita berusia 73 tahun dan kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun.

“Pemandu dan penumpang Toyota Vios meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala dan badan. Pemandu BMW 530e pula meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata dua penumpang Perodua Alza, iaitu kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dan perempuan berusia tujuh tahun yang mengalami kecederaan pada bahagian kepala sedang menerima rawatan di Zon Merah, Wad Kecemasan Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang.

Pemandu Perodua Alza, lelaki tempatan berusia 43 tahun pula mengalami kecederaan pada kaki, manakala pemandu Proton Wira, lelaki tempatan berusia 22 tahun cedera pada bahagian mulut.

Sementara itu, pemandu Mercedes Benz, wanita tempatan berusia 57 tahun hanya mengalami kecederaan ringan, manakala dua penumpangnya tidak mengalami sebarang kecederaan.

Bahrin berkata kesemua mangsa yang cedera menerima rawatan di HEBHK, dan hasil ujian saringan air kencing mendapati lelaki berusia 19 tahun itu negatif dadah.

Pihak polis turut merampas Mercedes Benz A250 berkenaan, dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – 2 Jun, 2026

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Apad confirms inDrive licence revoked effective July 24, but company can appeal

Russian-based company can file appeal through the agency for the Transport Ministry's consideration

DoSM estimates Malaysia’s population to be 34.1 mil in 2024

Three states with the highest population are Selangor, Johor, Sabah

Related