KUALA LUMPUR — Monash University Malaysia mengesahkan kampusnya di Sunway City dan Sekolah Klinikal Monash Johor Bahru (CSJB) telah menerima kebenaran daripada polis untuk beroperasi seperti biasa susulan susulan dakwaan ancaman bom semalam.
Menerusi kenyataan di laman web universiti itu hari ini, polis membenarkan operasi kampus disambung semula selepas penilaian keselamatan dijalankan.
“Monash University Malaysia mengesahkan bahawa kampus CSJB turut menerima pelepasan daripada polis dan pihak berkuasa berkaitan selepas penilaian keselamatan dijalankan.
“Susulan selesainya siasatan dan pemeriksaan keselamatan, pihak polis telah memberikan kebenaran untuk operasi kampus disambung semula seperti biasa, serta-merta hari ini, 5 Jun,” katanya.
Universiti itu turut memaklumkan ia akan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa dan menilai insiden ancaman bom itu mengikut protokol keselamatan serta sekuriti yang telah ditetapkan.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada kakitangan, pelajar dan pengunjung atas kerjasama serta sokongan yang diberikan sepanjang insiden ini,’’ katanya.

Terdahulu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya telah mengesahkan keadaan di kampus Sunway City adalah selamat dan terkawal.
Malam tadi, dalam kenyataannya, Universiti Monash memaklumkan akses ke universiti telah dihadkan buat sementara waktu ketika pihak berkuasa menjalankan penilaian keselamatan dan siasatan, susulan dakwaan ancaman bom.
Pihak universiti turut menggesa orang ramai untuk hanya merujuk kepada maklumat rasmi yang dikeluarkan oleh universiti dan pihak berkuasa serta mengelakkan daripada menyebarkan maklumat yang tidak disahkan.
Ia turut mengaktifkan prosedur tindak balas kecemasan susulan laporan ancaman bom tersebut.- 5 Jun, 2026
