KUALA LUMPUR – Bekalan barangan keperluan di negara ini dilihat masih pada tahap stabil meskipun dunia ketika ini berdepan ketidaktentuan rantaian bekalan global, kata Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd (Mydin) Datuk Dr Ameer Ali Mydin.
Menurut Ameer, perancangan rapi sektor peruncitan serta kelancaran sektor pertanian domestik memberi keyakinan bahawa jaminan bekalan makanan untuk pasaran tempatan berada pada tahap kukuh.
Ameer memberitahu, kelancaran musim penanaman dan penuaian domestik yang disokong ketersediaan input pertanian seperti baja, menjadi faktor utama menjamin kestabilan pasaran makanan negara tanpa sebarang tanda kekurangan dalam masa terdekat.
“Kita juga mendengar Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu menyatakan bekalan baja urea mencukupi untuk musim tanaman kali ini. Jadi, buat masa ini belum ada tanda-tanda ke arah itu (berkurangan) kerana musim penanaman dan penuaian berjalan seperti biasa, manakala bekalan baja juga mencukupi,” katanya, lapor Bernama.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV bertajuk “Perkukuh Industri Peruncitan, Memacu Ekonomi Negara” di sini, malam tadi.
Mengenai barangan import pula, Ameer Ali berkata industri peruncitan tempatan telah mengambil langkah proaktif menerusi kaedah pembelian awal atau forward buying bagi memastikan ketersediaan barangan keperluan import di pasaran sentiasa konsisten dan mencukupi.
Beliau turut menasihatkan pengguna agar tidak melakukan pembelian panik kerana jaminan bekalan turut merangkumi sektor bukan makanan termasuk barangan tekstil dan pakaian.
“Saya boleh katakan kestabilan bekalan masih terjamin. Kita tidak perlu terlalu risau tetapi pada masa yang sama jangan membazir, jangan terlalu bimbang dan panik,” katanya.
Sementara itu, mengenai peruntukan besar Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dalam Belanjawan 2026, Ameer Ali memuji langkah kerajaan yang disifatkan memberi impak gandaan kepada ekonomi domestik.
“Peniaga juga berterima kasih sebab kuasa berbelanja rakyat sekarang agak rendah. Apabila ada bantuan (seperti ini), kedai menjadi penuh dan ia memberi kesan besar kepada ekonomi peniaga kecil,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Mydin kini giat mengadaptasi perubahan gaya hidup pengguna dengan membuka lebih 20 cawangan baharu tahun ini menerusi konsep kedai komuniti yang lebih kecil tetapi menawarkan barangan asas yang lengkap. – 6 Jun, 2026
