KUALA LUMPUR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar didakwa lemah dalam mentadbir serta mengurus operasi harian Majlis Tertinggi (MT) gabungan itu malah dalam tempoh 100 hari banyak masalah dalaman tidak diselesaikan selain lambat dalam proses membuat keputusan dan pelaksaan tindakan.
Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz menerusi hantaran di Facebooknya mendakwa, salah satu sebab perkara itu berlaku adalah kerana Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu tidak reponsif terhadap apa yang berlaku.
“Samada lambat atau tidak jawab telefon, lambat balas mesej atau tidak jawab mesej, lambat buat kenyataan atau tiada kenyataan langsung, lambat panggil mesyuarat persiapan pilihan raya, lambat panggil mesyuarat rundingan kerusi, lambat panggil mesyuarat jawatankuasa berkaitan electoral pact dan lambat panggil mesyuarat MT PN bagi menghadapi pilihan raya.
“Selain itu lambat lantik Ketua pembangkang, lambat hantar surat pemakluman status keahlian Ahli Parlimen Bersatu yang dipecat kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, lambat pinda Perlembagaan PN.
“Dalam dua tiga minggu lalu, dia bukan setakat lambat, tetapi ‘ghaib’ daripada radar. Ini bukan dilemahkan. Tetapi yang lemah itu adalah diri dia sendiri,’’ katanya.
Semalam, menerusi hantaran Minda Presiden di Facebook, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa Bersatu cuba melemahkan peranan PAS yang meneroka perubahan politik dan membodohkan PAS dengan menghalang penyertaan lebih banyak parti khususnya parti Berjasa, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Peirkatan India Muslim Nasional (Iman), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan MIC.
Hadi turut mendakwa Bersatu turut melakukan pembahagian kerusi ketika pilihan raya umum (PRU) dengan rakus tanpa mengira kelayakan calon, kemampuan jentera dan jumlah ahlinya dengan memberi maklumat yang salah berkenaan jumlah ahli serta jentera.
Pada 8 Jun lalu, PAS mengumumkan penamatan kerjasama politik dengan Bersatu selepas mesyuarat khas Jawatankuasa Kerja Pusat parti itu.
Mengulas lanjut, Tun Faisal turut mempersoalkan bagaimana peranan PAS dilemahkan sedangkan jawatan utama dalam PN iaitu pengerusi, setiausaha, bendahari, ketua penerangan dan ketua pemuda gabungan itu dibolot oleh PAS.
Beliau turut memberitahu, PAS lemah dalam PN kerana Samsuri hanya Naib Presiden yang tidak mempunyai kuasa eksekutif dan tidak boleh membuat keputusan sebaliknya terpaksa meminta izin kepada Presiden PAS serta Majlis Syura PAS.
“Jadi dia adalah Pengerusi PN yang lemah tetapi siapa yang lemahkan dia? Presiden PAS yang tidak mahu memegang jawatan Pengerusi PN.
“Ada rakan-rakan dalam PAS yang beritahu, dalam hal ini Presiden PAS bertindak bertentangan dengan keputusan ‘Retreat PAS’ yang mahukan hanya Presiden memegang jawatan Pengerusi PN, namun betul atau tidak, saya tidak tahu, tetapi itulah yang dimaklumkan oleh sumber PAS beberapa bulan dahulu.
“Dulu Bersatu telah nasihatkan, Pengerusi PN mesti dari kalangan Presiden-Presiden parti tetapi PAS degil dan kesannya jelas hari ini. Siapa yang salah kerana melemahkan Dr Samsuri? PAS….PAS yang melemahkan Dr Samsuri dan institusi PN sehingga dia dilihat hanya umpama boneka dalam MT PN,’’ katanya.
Tun Faisal turut memberitahu, PN tidak mengamalkan sistem Mullah seperti dalam PAS justeru sistem berkenaan tidak boleh dipaksa dan menjadikan MT PN serta pengerusi gabungan itu tidak berwibawa, tidak efisien dan tidak efektif.
“Siapa yang melemahkan pemimpin-pemimpin PAS dalam MT PN? Haji Hadi. Bukan Bersatu. Sepatutnya Presiden PAS perlu menjadi salah seorang daripada Ahli MT PN dan hadir mesyuarat.
“Cuma, kalau jadi Ahli MT PN tetapi tidak hadir mesyuarat seperti sepanjang tahun 2025 pun tiada maknanya,’’ katanya. – 12 Jun, 2026
