HEADLINES

Perdagangan Borong dan Runcit Malaysia naik 15.3% kepada RM174.8 bilion pada April 2026

Bagi jualan runcit dalam talian, ia mencatatkan pertumbuhan positif pada April, dengan indeks jualan meningkat 7.1 peratus tahun ke tahun berbanding 6.4 peratus pada bulan sebelumnya sekali gus menunjukkan pengukuhan berterusan dalam segmen e-dagang, disokong oleh perbelanjaan pengguna secara dalam talian yang kukuh

3:24 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Perdagangan Borong dan runcit Malaysia meningkat 15.3 peratus tahun ke tahun pada April 2026 dengan jumlah jualan RM174.8 bilion disokong oleh pertumbuhan positif merentasi semua subsektor.

Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, perdagangan borong merekodkan jumlah jualan RM83.5 bilion, meningkat RM16.2 bilion berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

“Perdagangan runcit mencatatkan jualan RM71.0 bilion, meningkat RM4.2 bilion tahun ke tahun dengan pertumbuhan 6.3 peratus sementara subsektor kenderaan bermotor merekodkan jualan RM20.4 bilion, meningkat RM2.7 bilion iaitu pertumbuhan 15.5 peratus berbanding April 2025,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut mengenai prestasi subsektor perdagangan borong, Mohd Uzir, berkata pertumbuhan tersebut dipacu terutama oleh kumpulan lain-lain pengkhususan jualan borong yang merekodkan peningkatan jualan sebanyak RM12.8 bilion kepada RM37.4 bilion.

“Peningkatan nilai jualan ini disumbangkan terutamanya oleh harga produk petroleum yang lebih tinggi, khususnya petrol, diesel dan pelincir susulan kenaikan harga minyak mentah global.

“Peningkatan harga minyak tersebut dipengaruhi oleh gangguan bekalan global dan ketegangan geopolitik, yang membawa kepada peningkatan jualan dari segi nilai walaupun pertumbuhan volum perdagangan adalah sederhana,’’ tambah beliau.

Selain itu, beliau berkata, jualan yang lebih tinggi direkodkan bagi bahan binaan, perkakasan, peralatan paip dan peralatan dan bekalan pemanas.

Sementara jualan borong barangan isi rumah berkembang 8.2 peratus kepada RM15.4 bilion, disokong oleh pertumbuhan berterusan terhadap barangan farmaseutikal dan perubatan, barangan elektrik dan lektronik serta pewangi dan kosmetik.

“Jualan borong makanan, minuman dan tembakau meningkat 6.9 peratus, dipacu oleh jualan yang lebih tinggi bagi beras, bijirin lain, tepung serta gula, produk tenusu, ikan dan lain-lain makanan laut serta daging, unggas dan telur.

“Jualan borong bahan mentah pertanian dan haiwan hidup merekodkan peningkatan 11.7 peratus kepada RM6.8 bilion, didorong terutamanya oleh permintaan yang lebih kukuh terhadap minyak sawit dan getah,’’ katanya.

Menurut Mohd Uzir, Subsektor Perdagangan runcit terus merekodkan prestasi kukuh pada April, dipacu oleh jualan runcit di kedai bukan pengkhususan yang meningkat 6.1 peratus kepada RM27.3 bilion, disokong oleh prestasi berterusan di pasar raya besar, pasar mini dan kedai serbaneka.

Jualan runcit di kedai pengkhususan pula, katanya, turut meningkat kepada RM15.0 bilion, didorong oleh permintaan yang lebih tinggi bagi pakaian, minyak wangi, kosmetik, kan akuarium, haiwan peliharaan dan makanannya.

Sementara itu, katanya, jualan runcit bahan api kenderaan meningkat 12.5 peratus, disumbangkan oleh kenaikan harga petrol, dengan pertumbuhan volum direkodkan sebanyak 5.8 peratus.

“Pertumbuhan subsektor Kenderaan bermotor pada April disokong prestasi kukuh dalam jualan kenderaan bermotor, meningkat 18.1 peratus kepada RM10.3 bilion dan prestasi ini selari dengan data daripada Persatuan Automotif Malaysia (MAA) yang melaporkan jumlah jualan kenderaan sebanyak 72,113 unit, manakala Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) merekodkan 77,869 pendaftaran kenderaan bagi tempoh yang sama.

Bagi jualan runcit dalam talian, ia mencatatkan pertumbuhan positif pada April, dengan indeks jualan meningkat 7.1 peratus tahun ke tahun berbanding 6.4 peratus pada bulan sebelumnya sekali gus menunjukkan pengukuhan berterusan dalam segmen e-dagang, disokong oleh perbelanjaan pengguna secara dalam talian yang kukuh.

“Transaksi kad kredit dan kad debit masing-masing meningkat sebanyak 6.3 peratus dan 1.3 peratus tahun ke tahun dengan Platform Real-time Retail Payments Platform (RPP) terus mengekalkan prestasi yang kukuh dengan jumlah transaksi sebanyak RM360.7 bilion, mencatatkan pertumbuhan 29.9 peratus.

“Sementara itu, transaksi FPX meningkat 22.9 peratus kepada RM43.7 bilion. Transaksi JomPAY meningkat 3.8 peratus tahun ke tahun untuk mencapai RM4.9 bilion,’’ katanya. – 12 Jun, 2026

Topics

 

Hangat

‘Very hurtful’: Chief justice exposes legal failures driven by distorted Islamic views

Tun Tengku Maimun Tuan Mat laments misinterpretations of faith that distort justice in high-profile rulings, cites Indira Gandhi and Nik Elin Zurina cases

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Related