KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman 13 individu termasuk seorang pengarah dan bekas pengarah sebuah agensi kerajaan di utara tanah air kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM2.5 juta daripada kontraktor.
Bahagian komunikasi strategik SPRM dalam kenyataannya berkata, rasuah itu adalah sebagai dorongan melantik syarikat-syarikat kontraktor yang dikawal oleh ejen-ejen kartel syarikat bagi memonopoli kerja-kerja lantikan terus dan sebut harga agensi tersebut.
Tiga daripada mereka, katanya, yang merupakan dua penjawat awam dan seorang pengarah syarikat direman selama dua hari bermula semalam manakala 10 lagi suspek direman lima hari sehingga Sabtu ini selepas permohonan reman dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Ipoh, Perak pagi semalam.
“Semua suspek yang terdiri daripada 10 lelaki dan tiga wanita berusia lingkungan 30 hingga 60-an itu ditahan antara jam 8 hingga 11 malam Isnin ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Perak.
“Daripada 13 suspek yang direman semalam, lapan daripadanya adalah penjawat awam manakala lima lagi adalah orang awam dan pemilik syarikat,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.

SPRM memberitahu, siasatan awal mendapati kesemua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut antara 2024 hingga 2026 dan kontraktor yang ditahan mendakwa mereka perlu membayar rasuah antara 10 hingga 15 peratus kepada orang tengah untuk diberikan kepada pengarah dan bekas pengarah agensi kerajaan tersebut.
Isnin lalu, Bahagian Siasatan SPRM telah menjalankan operasi di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Pahang dan Perak menerusi Op Drain.
Menerusi operasi ini, sebanyak 25 lokasi yang terdiri daripada kediaman, premis pejabat dan agensi kerajaan digeledah dan beberapa barangan seperti wang tunai berjumlah kira-kira RM 1.5 juta, satu unit jam tangan mewah, dua unit kenderaan, satu unit motosikal berkuasa tinggi dan barangan kemas bernilai kira-kira RM1 juta, disita.
Kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – 17 Jun, 2026
