MUAR — Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bersedia membentuk gabungan baharu sekiranya tidak lagi diperlukan dalam Perikatan Nasional (PN), tegas Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Berucap pada majlis Pelancaran Jentera PRN Bersatu Johor di Bakri malam tadi, Muhyiddin menegaskan parti itu mempunyai pendirian tersendiri dan tidak akan tunduk kepada tekanan mana-mana pihak dalam gabungan.
“Kalau PN tidak boleh lagi diperbaiki lagi… kalau ada tindakan sehingga dikatakan PN sudah toksik… Apa kita nak buat? Kita cari yang baru… kita buat (bentuk) gabungan baru. Maknanya Bersatu tidak akan mati dan akan kekal untuk selama-lamanya.
Jadi, jangan main-main dengan Bersatu. Jangan cuba nak tendang saya, Bersatu sebagai sebuah parti kita akan kekal abadi, jadi parti yang lebih besar,” katanya lapor BH.
Turut hadir pada majlis itu ialah Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Datuk Dr Mohd Radzi Jidin; Setiausaha Agung Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; dan Pengerusi Bersatu Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal.
Sambil merujuk tindakan PN menghentikan perkhidmatan Dr Mohd Radzi sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya dan Azmin sebagai Timbalan Setiausaha Agung, Muhyiddin mengingatkan parti dalam gabungan itu agar tidak memperlekehkan Bersatu.
“Datuk (Dr Radzi) kena tendang… Datuk (Azmin) pun kena tendang. Ini apa?? Jangan perbodohkan kami… jangan tendang kami.
Kita akan pertahankan Bersatu sampai bila-bila. Jangan cuba pijak kami. Kami ada kekuatan. Kami ada semangat. Jangan main-main dengan kami,” katanya.
Muhyiddin turut menjelaskan bahawa idea penubuhan Bersatu lahir daripada perjuangan menegakkan kebenaran dan mencegah kemungkaran.
“Sebab itulah kita menubuhkan PN supaya dapat menarik lebih penyertaan parti yang sehaluan dengan kita. Dengan ada gandingan dan gabungan parti ini, dalam tempoh tidak sampai 10 tahun, lebih 70 peratus penyokong dan pengundi kita adalah orang Melayu.
Kita boleh menang banyak kerusi, kalau tiada yang buat hal (tarik sokongan) kita adalah kira-kira 91 wakil rakyat,” katanya. – 22 Jun, 2026
