HEADLINES

PAS tekad pertahan dominasi politik Melayu-Islam, lancar kempen ‘Jom Jaga Johor’: Hadi Awang

Misi serampang dua mata Pas mempertagas penguasaan politik Melayu-Islam di Johor menyaksikan pertembungan sengit bakal berlaku di 11 kerusi strategik, di samping pelancaran slogan ‘Jom Jaga Johor’ serta strategi agresif menyekat sepenuhnya kemaraan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya negeri akan dating

8:57 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pas mengisytiharkan kesediaan penuh untuk mempertahankan kuasa politik Melayu-Islam di Johor dengan mengerahkan seluruh jentera parti berkampung di 11 kerusi strategik yang bakal ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.

Ketetapan drastik tersebut dicapai dalam satu Mesyuarat Khas PAS Pusat yang dipengerusikan kepimpinan tertinggi parti petang semalam.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan, bagi merealisasikan misi berkenaan, parti itu akan melancarkan kempen agresif berteraskan slogan ‘Jom Jaga Johor’ demi mendekati segenap lapisan pengundi di negeri selatan tanah air itu.

Dalam kenyataan medianya, Abdul Hadi turut menggesa para pengundi agar menutup terus pintu kemenangan buat Pakatan Harapan (PH). Malah, beliau menyeru strategi undi protes dilakukan, termasuk di kawasan yang menyaksikan pertembungan dua penjuru antara Barisan Nasional (BN) dan PH.

“Pengundi diseru tidak memberikan undi kepada Pakatan Harapan, termasuk di kerusi yang menyaksikan pertembungan dua penjuru melibatkan Barisan Nasional dan Pakatan Harapan,” tegasnya.

Bukan sekadar memfokuskan landskap politik Johor, PAS turut mengesahkan seruan bersiap sedia telah ditiupkan kepada jentera parti bagi mendepani cabaran PRN Negeri Sembilan dengan membawa mesej teras perjuangan untuk kembali kepada penyelesaian Islam.

Langkah agresif PAS ini hadir ketika suhu politik di Johor dan Negeri Sembilan semakin memuncak, didorong oleh dinamika pasca-Pilihan Raya Umum (PRU) dan pergolakan domestik.

Kehadiran PAS di 11 kerusi Johor merupakan cubaan jelas Perikatan Nasional (PN) untuk mencabar dominasi tradisi Umno/BN di kubu kuat mereka, sekali gus memancing undi Melayu yang tidak berpuas hati dengan kerjasama BN-PH di peringkat Persekutuan.

Kenyataan Abdul Hadi yang meminta pengundi menyekat PH, walaupun di kerusi dua penjuru melibatkan BN, mencerminkan strategi serampang dua mata.

Di satu pihak, ia mahu melemahkan PH, manakala di satu pihak lagi ia memberi isyarat jelas bahawa rundingan sulit antara Pas dan BN Johor sebelum ini menemui jalan buntu, seperti yang disuarakan oleh beberapa pemimpin Umno yang menyifatkan situasi di Johor mula menjadi ‘caca marba’ akibat ego politik.

Ramai penganalisis politik melihat PRN Johor dan Negeri Sembilan kali ini bukan sekadar pilihan raya tempatan, melainkan satu ujian litmus yang sangat penting.

Prestasi parti-parti bertanding di kedua-dua negeri ini bakal menjadi petunjuk utama kepada Perdana Menteri untuk menentukan garis masa pembubaran Parlimen bagi menghadapi PRU ke-16. – 30 Jun, 2026

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Jangan buang kucing di pasar, hantar ke pusat perlindungan jalan terbaik

Tindakan itu juga satu kesalahan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

Related