PASIR MAS – PAS menuntut ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho (Jho Low), segera diekstradisi ke Malaysia untuk berdepan pendakwaan, susulan laporan beliau antara individu dijangka menerima pengampunan daripada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, menegaskan kesalahan Jho Low memberi kesan besar kepada negara.
“Dalam konteks ini kita ada perundangan tersendiri dan tidak semestinya kita sama dengan Amerika Syarikat. Negara kita sangat terkesan dengan kesalahan yang dilakukan Jho Low dan kesannya sangat besar kepada ekonomi.”
Beliau menambah, proses perundangan mesti berjalan tanpa kompromi.
“Justeru kita desak ahli perniagaan itu didakwa segera. Bersalah atau tidak itu perkara lain sebaliknya beliau perlu diadili terlebih dahulu.”
“Kesalahan yang dilakukan Jho Low tiada kaitan dengan Amerika Syarikat sebaliknya duit dan dana dari negara kita. Jadi kita harap beliau didakwa, kita ada hubungan antara negara untuk ekstradisi ahli perniagaan itu.”
Tuan Ibrahim berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung PAS Kawasan Pasir Mas. Turut hadir, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia tidak akan berganjak daripada pendirian terhadap Jho Low, meskipun sekiranya beliau diberi pengampunan oleh Presiden AS.
Anwar menekankan bahawa keputusan pengampunan adalah urusan dalaman Amerika Syarikat, namun Malaysia tetap berpegang kepada proses perundangan dalam menangani kes membabitkan Jho Low. – 4 Julai, 2026
