◉ HEADLINES

400,000 murid Tahun Empat duduki Matriks Pembelajaran Oktober ini

Kohort pertama Matriks Pembelajaran Tahun Empat bakal berlangsung serentak seluruh negara 6–8 Oktober, melibatkan empat subjek teras dengan kertas soalan berpusat dan standard antarabangsa

4:30 PM MYT

 

PUTRAJAYA – Kira‑kira 400,000 murid Tahun Empat dijangka menduduki Matriks Pembelajaran Tahun Empat kohort pertama pelaksanaannya secara serentak di seluruh negara dari 6 hingga 8 Oktober ini.

Pengarah Peperiksaan Lembaga Peperiksaan (LP) Kementerian Pendidikan, Ab Aziz Mamat, berkata ia melibatkan empat mata pelajaran teras – Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains, serta Bahasa Cina atau Bahasa Tamil bagi Sekolah Jenis Kebangsaan.

“Setiap mata pelajaran diuji secara bertulis selama satu jam 15 minit, manakala murid berkeperluan khas diberi masa tambahan antara 30 hingga 60 minit,” katanya kepada Bernama.

Ab Aziz menegaskan pihak sekolah bertanggungjawab memastikan semua murid didaftarkan dan kertas soalan mencukupi supaya tiada calon tercicir.

Instrumen pentaksiran dibangunkan LP berdasarkan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran, merangkumi kandungan Tahun 1 hingga Tahun 4, dengan item objektif dan subjektif pelbagai aras kesukaran – mengukur pengetahuan, aplikasi, penyelesaian masalah, penaakulan serta Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).

“Kita telah memutuskan untuk memastikan keyakinan awam terhadap pentaksiran ini, maka ia akan dikendalikan secara berpusat oleh LP. Bermaksud semua murid dan sekolah akan mendapat kertas soalan sama,” katanya.

Murid Dual Language Program (DLP) pula menerima kertas dwibahasa bagi Sains dan Matematik, manakala murid lain dibekalkan kertas dalam Bahasa Melayu.

Skrip jawapan murid akan diperiksa oleh guru mata pelajaran sendiri berpandukan skema pemarkahan LP, melalui proses moderasi dan verifikasi bagi menjamin standard pemeriksaan.

“Untuk Matriks Pembelajaran Tahun Empat, kita mahu guru itu sendiri tahu kedudukan, kelebihan, kekuatan dan kelemahan murid masing‑masing semasa menanda kertas,” jelas Ab Aziz.

Keputusan pentaksiran menggunakan sistem gred dan skor sama seperti Ujian Akhir Sesi Akademik, namun tidak digunakan sebagai syarat kemasukan ke Sekolah Berasrama Penuh, MRSM atau sekolah khusus lain.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengumumkan pendekatan baharu penilaian pembelajaran melalui Matriks Pembelajaran Malaysia, bermula dengan Tahun Empat pada 2026 dan Tingkatan Tiga pada 2027. – 5 Julai, 2026

Topics

 

◉ Hangat

Malaysia Airlines tops domestic flight punctuality rankings of 85.3%

National carrier led on-time performance up to May 2025, as government enforces stricter rules on delays and passenger compensation

More missing hikers on M’sia’s trails: mountaineering legend calls for stricter guidelines

Everest pioneer Datuk Magendran M. Munisamy suggests a collaboration with the Malaysian Mountaineering & Sport Climbing Federation to improve trail preparedness

Egypt’s prestigious Al-Azhar University’s admittance of a non-Muslim student could serve as an example to learn from – Hafiz Hassan

Despite being an Islamic institution with rigorous requirements, the school made an exception to its rules in 2017

◉ Related