KUALA LUMPUR – Microsoft mengumumkan akan mengurangkan 4,800 pekerjaan, iaitu kira-kira 2.1% daripada jumlah tenaga kerjanya dengan Xbox menanggung sebahagian besar daripada pusingan terbaharu pembuangan pekerja ini.
Naib Presiden Eksekutif Microsoft, Amy Coleman memaklumkan mengenai perkara itu kepada kakitangannya menerusi satu memo bahawa gergasi teknologi itu perlu memberi tumpuan kepada bidang yang mampu memberikan nilai terbaik kepada pelanggan dalam industri yang sedang berubah dengan pantas.
Memetik laporan BBC, pemberhentian besar-besaran ini akan menyaksikan lebih 1,600 jawatan di Xbox dihapuskan serta-merta.
Asha Sharma, yang baru-baru ini mengambil alih jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Xbox, berkata dalam satu nota kepada kakitangan bahawa syarikat sedang memulakan “penstrukturan semula paling besar dalam sejarah Xbox”.
Menurut nota yang dikongsi di X, sebanyak 1,600 lagi pekerjaan akan dikurangkan dalam tempoh setahun akan datang.

Empat studio pembangunan permainan Xbox — Compulsion Games, Double Fine Productions, Ninja Theory dan Undead Labs — juga akan dipisahkan daripada organisasi Xbox sebagai sebahagian daripada perubahan tersebut, katanya.
“Perubahan ini adalah demi masa depan Xbox yang lebih besar, bukannya lebih kecil,” kata Sharma.
“Sejarah dipenuhi dengan syarikat yang menyangka usia panjang menjamin kelangsungan mereka. Kami tidak akan menjadi salah satu daripadanya.”
Sementara itu, Coleman berkata perubahan keperluan pelanggan menjadi faktor utama di sebalik pengurangan tenaga kerja di seluruh Microsoft.
“Syarikat tidak boleh memilih sama ada industri mereka akan berubah atau tidak; mereka hanya boleh memilih sama ada mahu berubah bersama-sama industri tersebut,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa walaupun jawatan yang dikurangkan itu tidak akan digantikan dengan kecerdasan buatan (AI), “apa yang benar ialah AI sedang mengubah cara kerja dilakukan.”
Cabaran industri
Pengumuman ini dibuat ketika industri permainan video masih berdepan tempoh yang sukar, dengan banyak studio masih terkesan akibat pemberhentian pekerja besar-besaran sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Pada tahun 2024, Xbox telah memberhentikan lebih 2,000 pekerja dan menutup empat studio yang diperoleh sebelum pengambilalihan besar-besaran Activision-Blizzard, pembangun francais Call of Duty.
Tidak sampai setahun kemudian, Microsoft mengumumkan bahawa ia akan mengurangkan sehingga 9,000 lagi pekerjaan sambil meneruskan rancangan untuk meningkatkan pelaburan berbilion dolar dalam AI.
Peningkatan kos perkakasan turut menyebabkan syarikat seperti Microsoft menaikkan harga konsol permainan dan peranti pengguna lain yang telah berada di pasaran selama beberapa tahun, dengan ramai pihak menyalahkan pusat data AI yang meningkatkan permintaan terhadap komponen sehingga bekalan tidak dapat mengikutinya.
Sharma berkata walaupun beliau sedar pengurangan pekerjaan ini “menyakitkan”, Xbox memerlukan satu “penetapan semula” menyeluruh merangkumi portfolio kandungan, platform dan operasinya.
Memisahkan studio permainan
Sebagai sebahagian daripada perubahan besar ini, pembangun Minecraft, Mojang, dan pembangun Candy Crush, King, kini akan melapor terus kepada Sharma.
Piers Harding-Rolls daripada Ampere Analysis berkata penstrukturan semula ini “menegaskan visi Xbox terhadap studio dan kandungannya, yang akan lebih tertumpu kepada harta intelek (IP) terbesar serta kumpulan pemain paling ramai.”
Beliau berkata sebelum ini Microsoft memperoleh banyak studio bagi memperkukuhkan tawaran dalam perkhidmatan langganan Game Pass.
“Namun kini syarikat memutuskan bahawa sebahagian daripada pasukan tersebut dan permainan yang sedang mereka bangunkan lebih sesuai beroperasi di luar organisasi Xbox,” katanya sambil menambah bahawa keputusan untuk tidak menutup studio-studio itu merupakan “berita baik dalam situasi yang sukar.”
Double Fine dan Compulsion akan kembali beroperasi sebagai studio bebas.
Double Fine, yang diambil alih oleh Microsoft pada tahun 2019, menulis di X bahawa mereka “berterima kasih kepada semua warga Xbox atas tujuh tahun yang luar biasa bersama.” – 7 Julai, 2026
