HEADLINES

Muhyiddin akui PN sukar tawan Johor, sasar peranan semak dan imbang

Kehadiran blok pembangkang yang kukuh amat penting bagi mengelakkan wang negeri dibelanjakan tanpa akauntabiliti

8:53 AM MYT

 

BATU PAHAT – Perikatan Nasional (PN) mengakui kemungkinan tidak mampu untuk membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Sabtu ini.

Bagaimanapun, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa para pengundi agar terus memberikan sokongan padu kepada gabungan itu.

Jelas beliau, kemenangan kerusi yang mencukupi amat kritikal bagi memastikan PN dapat memainkan peranan efektif sebagai blok semak dan imbang terhadap pentadbiran kerajaan negeri.

Kepentingan pembangkang di DUN

Muhyiddin menegaskan bahawa kehadiran pembangkang yang kukuh di Dewan Undangan Negeri (DUN) sangat penting untuk memantau setiap dasar serta perbelanjaan negeri secara berkesan.

Keberadaan jumlah kerusi yang kuat akan menghalang kerajaan negeri daripada bertindak tanpa sebarang persoalan.

“Di sinilah pentingnya peranan kita sebagai semak dan imbang. Kerajaan tidak boleh buat sesuka hati.  

“Mereka juga perlu menjelaskan bagaimana wang negeri dibelanjakan jika perkara itu dipersoalkan dalam DUN,” katanya ketika berucap pada Ceramah Bersatu Demi Johor di Bilik Gerakan Utama PN di Parit Raja, malam tadi.  

Majlis tersebut turut dihadiri oleh calon Bersatu bagi kerusi DUN Parit Raja, Dr Mohamed Maliki Mohamed Rapiee.

Amaran ‘mandat besar’ tanpa jaminan

Beliau turut mengingatkan pengundi agar tidak memberi laluan mudah kepada pihak lawan sehingga memperoleh mandat terlalu besar, terutamanya jika mereka akhirnya gagal menunaikan janji kepada rakyat.  

“Jangan beri sokongan semata-mata kerana tiada jaminan. Apatah lagi sekarang ada kedengaran mereka boleh menang sehingga 40 kerusi.  

“Kalau dah menang 40 kerusi, mereka akan berlenggang tangan. Tak buat apa-apa pun, tak apa sebab rakyat dah sokong mereka. Akhirnya rakyat juga yang tidak mendapat apa-apa.  

“Sebab itu walaupun kita tidak bertanding sebanyak kerusi seperti pihak lain, dan mungkin tidak mampu membentuk kerajaan, kita tetap perlu mempunyai kekuatan untuk menjadi pembangkang.  

“Itulah pentingnya rakyat memilih wakil yang benar-benar mampu membawa perubahan dan memperjuangkan kepentingan mereka,” tambah beliau lagi.

PRN Johor kali ini menyaksikan persaingan sengit melibatkan perebutan di kesemua 56 kerusi DUN di seluruh negeri.

Untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu, mana-mana parti atau gabungan politik memerlukan sekurang-kurangnya 29 kerusi bagi mencapai majoriti mudah, manakala sasaran 38 kerusi diperlukan untuk memperoleh majoriti dua pertiga.

Pilihan raya ini diadakan susulan pembubaran DUN Johor secara rasmi pada 22 Januari lalu selepas mendapat perkenan Sultan Johor. – 8 Julai, 2026

Topics

 

Hangat

What will we call for next? A ban on cheap cigarettes, tuak and kapcais? – Rocky Bru

While concerns over drug-laced vapes grow, a blanket ban could backfire by wiping out businesses, threatening jobs, pushing trade underground amid weak enforcement and open tank loopholes

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Cleared for layoffs? AirAsia to retrench 20% of workforce in major cost-cutting move

This allegedly involves cabin services, cargo and logistics, engineering and maintenance, as well as the commercial division, according to Scoop’s source

Related