◉ HEADLINES

Sultan Selangor rakam setinggi penghargaan kepada 13,000 warga Prasarana dan MRCB realisasi LRT3

Lebih 13,000 individu, termasuk jurutera, penyelia, juruteknik dan pekerja binaan, diiktiraf Sultan Selangor sebagai tulang belakang kejayaan LRT3 Laluan Shah Alam, simbol dedikasi dan komitmen tenaga kerja negara

11:00 AM MYT

 

KLANG – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), MRCB serta semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan pembinaan dan pengoperasian LRT3 Laluan Shah Alam.

Baginda disembah maklum, sepanjang pelaksanaan projek ini lebih 13,000 individu telah menyumbang tenaga, kepakaran dan komitmen mereka dalam merealisasikan pembinaan Laluan Shah Alam.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan penghargaan kepada warga Prasarana, MRCB dan lebih 13,000 tenaga kerja yang bertungkus-lumus hampir 11 tahun membina LRT3 Laluan Shah Alam — projek pengangkutan awam moden yang kini menjadi nadi mobiliti rakyat. – Gambar MRCB, 14 Julai, 2026

Pada satu-satu masa, purata seramai 8,000 kakitangan bekerja di pelbagai tapak, disiplin dan fungsi khusus, membentuk tenaga kerja yang usaha kolektif mereka amat penting dalam menjayakan projek infrastruktur rel utama ini.

Mereka terdiri daripada pengarah projek, jurutera, penyelia, juruteknik, pekerja mahir, pekerja binaan, pegawai keselamatan, pasukan logistik, pentadbir dan kakitangan sokongan — rakyat Malaysia dan pekerja dari luar negara — masing-masing memainkan peranan penting dalam menjayakan projek ini.

“Ramai antara mereka bekerja berjam-jam dalam keadaan mencabar, sering berjauhan daripada keluarga, demi memastikan projek berjalan dengan selamat, mengikut jadual dan menepati piawaian yang ditetapkan.

Walaupun stesen, landasan dan tren merupakan hasil yang dapat dilihat oleh masyarakat, hakikatnya kejayaan sebenar projek ini adalah manifestasi dedikasi, profesionalisme serta semangat lebih 13,000 individu yang telah mengabdikan tenaga dan kepakaran mereka sepanjang pembinaannya,” titah baginda.

Ramai yang bekerja berjam-jam dalam keadaan mencabar, sering berjauhan daripada keluarga, demi memastikan projek ini berjalan dengan selamat, mengikut jadual dan menepati piawaian yang ditetapkan. – Gambar MRCB, 14 Julai, 2026

Semalam, baginda berkenan merasai sendiri pengalaman menaiki LRT3 dari stesen Bandar Utama, Petaling Jaya hingga ke Johan Setia, Klang, diiringi Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Baginda menzahirkan rasa syukur kerana projek pengangkutan awam yang sekian lama dinantikan akhirnya menjadi kenyataan, sekali gus meningkatkan mutu kehidupan rakyat, mengurangkan kesesakan lalu lintas serta menyediakan sistem mobiliti moden, selesa dan mampan.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menaiki Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Laluan Shah Alam dari Stesen Bandar Utama ke Stesen Johan Setia semalam. – 14 Julai, 2026

Dalam kenyataan itu, baginda turut menzahirkan keterujaan menantikan siapnya lima lagi stesen tertangguh — Tropicana, Temasya, Raja Muda, Bukit Raja dan Bandar Botanik — yang bakal dibina semula untuk manfaat penduduk di kawasan berdekatan.

Sultan Selangor berpesan agar rakyat memanfaatkan sepenuhnya perkhidmatan tren ini sebagai pemangkin budaya penggunaan pengangkutan awam demi mewujudkan sistem mobiliti yang lestari dan berkualiti untuk masa hadapan. – 14 Julai, 2026

Topics

 

◉ Hangat

Schools may close if air quality worsens, five areas hit unhealthy levels: DOE

The department said the areas recorded unhealthy API readings, warns of RM1mil fine for open burning offenders

Melaka schools to reopen on Oct 12 as API readings fall below 100

Air quality readings at all three monitoring stations in the state remain in the moderate range, with parents advised to monitor their children's health

Four Malaysia Airlines flights cancelled, two more diverted amid heightened US-Iran tensions

Destinations involved were Doha and Jeddah following flight advisory on airspace risks, governments issue travel warnings to avoid Iran

◉ Related