HEADLINES

Hutang BNPL cecah RM5.3 bilion, MoF jamin masih terkawal

Walaupun jumlah akaun BNPL aktif mencecah lapan juta dengan baki terkumpul RM5.3 bilion, Kementerian Kewangan menegaskan impaknya kepada keseluruhan hutang isi rumah negara masih berada pada tahap minimum, iaitu sekitar 0.3% setakat akhir 2025

11:17 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Trend penggunaan medium kewangan ‘Beli Sekarang, Bayar Kemudian’ (BNPL) menyaksikan lonjakan besar apabila jumlah pemegang akaunnya meningkat kepada lapan juta individu bagi suku pertama 2026.

Menurut Kementerian Kewangan (MoF), bagi tempoh yang sama, jumlah baki terkumpul BNPL kini mencecah RM5.3 bilion.

Daripada jumlah tersebut, nilai tunggakan atau jumlah tidak berbayar dilaporkan sebanyak RM181.0 juta, bersamaan 3.4% daripada keseluruhan baki terkumpul berkenaan.

“Secara keseluruhan, hutang BNPL kekal rendah, iaitu sekitar 0.3% daripada keseluruhan hutang isi rumah dalam negara setakat akhir 2025,” jelas MoF dalam jawapan bertulis yang disiarkan melalui laman sesawang Parlimen, semalam.

Kenyataan tersebut bagi menjawab pertanyaan Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) yang meminta penjelasan mengenai langkah perlindungan pengguna oleh Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP).

Ia susulan nilai transaksi BNPL yang mencecah RM9.3 bilion pada separuh pertama 2025, dengan 40% daripadanya melibatkan golongan muda berusia bawah 30 tahun.

Beliau turut mempersoalkan sama ada had kadar faedah akan dikenakan kepada penyedia perkhidmatan.

Wajib mohon lesen SKP mulai Jun

Bagi menangani isu tersebut, MoF menegaskan bahawa semua penyedia perkhidmatan BNPL kini diwajibkan untuk mendapatkan lesen sah daripada Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) bagi memastikan aspek tadbir urus dan perlindungan pengguna dipenuhi sepenuhnya.

“SKP sudah mengeluarkan Standard Pelesenan dan Pendaftaran, serta Standard Pelakuan yang menetapkan standard minimum perlu dipatuhi oleh semua penyedia BNPL.

Tempoh permohonan lesen dibuka 1 Jun lalu dan penyedia BNPL sedia ada diberi tempoh hingga 30 November depan untuk mengemukakan permohonan masing-masing,” tambah kementerian itu.

Sekatan kredit berlebihan dilaksanakan

Sebagai langkah proaktif mengelakkan pengguna terjerat dengan bebanan hutang di luar kemampuan, Standard Pelakuan SKP turut menetapkan syarat ketat sebelum sebarang kelulusan pembiayaan diberikan.

Penyedia BNPL kini diwajibkan untuk menjalankan penilaian kelayakan kredit serta keupayaan kewangan pelanggan terlebih dahulu.

“Penyedia BNPL juga tidak boleh memberi atau menambah kemudahan kredit kepada pengguna yang berkemungkinan menghadapi kesukaran untuk memenuhi obligasi pembayaran balik mereka,” tegas MoF.

BNPL (Buy Now, Pay Later) ialah sejenis pembiayaan jangka pendek berstruktur yang membolehkan pengguna membuat pembelian dan membayar secara ansuran dalam tempoh tertentu, biasanya tanpa faedah jika dibayar mengikut jadual.

Berbeza dengan kad kredit konvensional, kelulusan BNPL selalunya lebih pantas dan dilakukan secara digital melalui aplikasi sewaktu proses pembayaran (checkout). Ansuran biasanya dibahagikan kepada 3 hingga 4 bulan.

Kaedah ini sangat popular dalam kalangan generasi muda (seperti Gen Z dan Milenial) serta golongan yang tidak mempunyai kad kredit atau profil kredit tradisional.

Walaupun memudahkan, ia berisiko mendorong perbelanjaan impulsif. Kegagalan membayar mengikut jadual boleh dikenakan caj lewat atau penalti, yang jika tidak dikawal boleh membawa kepada bebanan hutang yang serius. – 16 Julai, 2026

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Related