KUALA LUMPUR – Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan parti berkenaan tidak mufarakah (berpisah) secara sukarela dari Perikatan Nasional (PN) dan masih anggota gabungan itu yang sah.
Sambil membidas Ketua Penerangan PN, Tan Sri Annuar Musa berhubung dakwaan berpisah secara sukarela itu, Muhyiddin berkata hak-hak Bersatu sebagai parti anggota dan parti pengasas perikatan tersebut telah dinafikan.
“Saya kesal dengan tohmahan Tan Sri Annuar Musa terhadap Bersatu. Bersatu tidak mufarakah (berpisah) secara sukarela dari Perikatan Nasional. Bersatu yang mengasaskan Perikatan Nasional dan Bersatu masih parti anggota PN yang sah,’’ katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Semalam, Annuar dilaporkan berkata keputusan Bersatu menggunakan logo sendiri pada PRN Negeri Sembilan mengesahkan rancangan parti itu menggerakkan platform politik lain selain Perikatan Nasional (PN).
Menurut Annuar, pihaknya sudah dimaklumkan serta diberikan bukti dan maklumat secara hitam putih mengenai perancangan berkenaan sebelum proses penamaan calon PRN Johor, bulan lalu.
Dalam pada itu, mengulas mengenai pembahagian kerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, Muhyiddin berkata, Bersatu tidak dijemput menghadiri Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi Perikatan Nasional yang memuktamadkan pembahagian kerusi parti-parti anggota gabungan itu.
Malah, katanya, rundingan kerusi pilihan raya dengan Bersatu tidak diteruskan dan sengaja dihentikan dengan alasan yang tidak munasabah.
“Jadi, mengapa Bersatu dituduh bertindak mendahului keputusan mesyuarat jika mesyuarat pun tidak dijemput,’’ soalnya.
Mengenai rundingan dengan Barisan Nasional (BN), Muhyiddin berkata, pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar sendiri mengakui memberikan kebenaran untuk rundingan itu dilakukan.
“Saya tidak mempersoalkan rundingan. Soalnya ia melibatkan perkara dasar yang sepatutnya dibawa ke Majlis Tertinggi Perikatan Nasional terlebih dahulu.
“Sebaliknya, rundingan dibuat tanpa melibatkan semua parti anggota dan tanpa mandat Majlis Tertinggi. Setelah keputusan mengenai kerjasama dibuat barulah dibawa ke Majlis Tertinggi. Ini cara yang songsang,’’ katanya.
Muhyiddin memberitahu, sepanjang memimpin PN selama lima tahun, beliau tidak pernah mengenepikan mana-mana parti anggota dalam proses membuat keputusan gabungan itu termasuk hal-hal berkaitan dasar parti dan pembahagian kerusi pilihan raya.
Malah, katanya mesyuarat dan rundingan melibatkan semua parti dan setiap keputusan dibuat secara teratur namun ketika ini, dakwanya, keadaan menjadi berkecamuk.
Tambah beliau, pada peringkat awal penubuhan PN, Umno telah dijemput untuk menyertai gabungan terbabit namun hanya Ahli-Ahli Parlimen parti berkenaan sahaja yang menyokong perikatan itu.
“Ahli-Ahli Parlimen Umno kemudiannya berkomplot untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional, iaitu sebuah kerajaan yang dipimpin oleh orang Melayu dan parti Melayu.
“Hari ini mereka sedang melakukan perkara yang sama kepada Kerajaan Perpaduan yang mereka sendiri tubuhkan bersama-sama Pakatan Harapan.
“Oleh kerana Perikatan Nasional yang dipimpin oleh PAS mahu mewujudkan gabungan dengan Umno, yang masih mempunyai hubungan dengan Pakatan Harapan termasuk DAP, PAS memutuskan hubungan dengan Bersatu dan parti Melayu yang saya pimpin ini diketepikan oleh Perikatan Nasional.
“Ini bukanlah penyatuan Melayu yang sebenar. Ini hanyalah penjajaran semula kuasa politik. Apapun saya mengucapkan selamat maju jaya kepada Perikatan Nasional,’’ katanya. – 17 Julai, 2026
