KUALA LUMPUR – Ketika kecerdasan buatan (AI) berkembang pesat dalam membentuk semula pengalaman dalam talian kanak-kanak, pakar berpandangan undang-undang keselamatan dalam talian tidak boleh hanya memfokus kepada media sosial semata-mata, selain mengingatkan kawal selia perlu berkembang seiring dengan kemajuan teknologi itu.
Isu berkenaan menjadi antara tema utama sesi perbincangan panel pada persidangan ‘Online Safety by Design: Platform Accountability and Child Protection in an Age of User Vulnerability’, yang dianjurkan bersempena Persidangan Kawal Selia Antarabangsa 2026 (IRC 2026) baru-baru ini.
Panel penceramah menegaskan bahawa AI secara asasnya sedang mengubah cara kanak-kanak berinteraksi dengan internet, sekali gus menyukarkan usaha untuk memisahkan tadbir urus AI daripada dasar keselamatan dalam talian yang lebih luas.
Ketua Perlindungan Kanak-Kanak Unicef Malaysia, Saskia Blume, memberi amaran bahawa AI kini menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian kanak-kanak pada kadar yang jauh lebih pantas berbanding kesediaan sesetengah kerajaan.

“Sesi panel ini adalah mengenai kawal selia platform, dan kita banyak membincangkan tentang Akta Keselamatan Dalam Talian serta perbincangan berkaitan media sosial. Namun pada masa yang sama, kita dapat melihat AI mula menguasai kehidupan kita, dan kanak-kanak sentiasa menjadi golongan terawal yang menggunakannya,” kata beliau.
Blume turut merujuk kepada data terbaharu keluaran UNICEF yang menunjukkan bahawa kanak-kanak mengguna pakai AI secara signifikan lebih pantas berbanding orang dewasa.
“Unicef telah menerbitkan data kira-kira 10 hari lalu yang menunjukkan bahawa kanak-kanak mengguna pakai AI pada kadar dua hingga tiga kali ganda lebih pantas berbanding orang dewasa. Namun, dalam kebanyakan perbincangan tadbir urus AI, kita masih belum mengambil kira faktor kanak-kanak,” katanya.
Blume menggesa kerajaan agar tidak mengulangi corak yang berlaku sewaktu kemunculan media sosial, di mana kawal selia ketinggalan di belakang pengunaan teknologi.
“Kita sedang mengulangi corak sama yang kita lihat pada media sosial. Di kebanyakan negara, tadbir urus AI sudah menjadi bahagian penting dalam perbincangan keselamatan dalam talian, dan itu sangat penting kerana kanak-kanak terdedah kepada AI sama seperti mereka terdedah kepada media sosial,” tambah beliau.
Selain mengawal selia AI, Blume berkata kerajaan sepatutnya mewajibkan syarikat teknologi menilai bagaimana produk mereka memberi kesan kepada hak kanak-kanak sebelum melancarkan perkhidmatan baharu.
Beliau berkata penilaian impak hak kanak-kanak perlu dijadikan amalan standard, yang bukan sahaja merangkumi perlindungan daripada bahaya, tetapi juga privasi, pendidikan, kebebasan bersuara, serta kesejahteraan keseluruhan.
“Sangat jelas bahawa status quo sedia ada tidak boleh diterima mahupun dipertahankan. Apabila kita bercakap tentang ‘keselamatan berasaskan reka bentuk’ (safety by design), apakah maksud sebenarnya dalam amalan nyata?,” kata beliau.
Blume menarik perhatian bahawa kanak-kanak beralih secara lancar antara media sosial, platform permainan video (gaming), dan aplikasi mesej, sekali gus menjadikan tindakan mengawal selia satu jenis perkhidmatan dalam talian sahaja tidak berkesan.
“Kanak-kanak bertukar-tukar antara permainan video, pelbagai platform media sosial, dan aplikasi mesej. Jika kita mahu melihat perkara ini secara holistik, ia mesti bermula dengan keselamatan berasaskan reka bentuk,” katanya.
Perbincangan tersebut turut menyorot kebimbangan yang kian meningkat terhadap teknologi penentuan umur berteraskan AI serta risiko privasi yang mungkin ditimbulkannya.
Meskipun mengakui bahawa penentuan umur menjadi alatan penting untuk melindungi kanak-kanak di alam siber, Blume memberi peringatan bahawa kerajaan perlu mengimbangi keselamatan dengan hak privasi secara berhati-hati.
Merujuk kepada prinsip hak asasi manusia antarabangsa, beliau berkata badan kawal selia perlu memastikan sebarang langkah yang diperkenalkan adalah sah mengikut undang-undang, berasas (necessary), dan berkadar bersesuaian (proportionate).
Beliau turut memetik insiden kebocoran data di luar negara yang melibatkan sistem pengesahan identiti sebagai peringatan bahawa perlindungan yang lebih ketat kadangkala boleh mewujudkan kerentanan baharu jika tidak direka dengan teliti.
Pesuruhjaya Tinggi Australia, Danielle Heinecke, berkata kerangka penentuan umur di Australia terus berkembang seiring dengan pengajaran yang diperoleh pihak berkuasa daripada pelaksanaannya.
“Undang-undang ini perlu terus berkembang berdasarkan pembelajaran dan pelaksanaan,” katanya.

Heinecke menjelaskan bahawa pendekatan Australia meletakkan tanggungjawab ke atas platform untuk menghalang kanak-kanak di bawah umur 16 tahun daripada membuat akaun, dan bukannya memindahkan beban tersebut kepada ibu bapa.
Beliau menambah bahawa pihak berkuasa sedang menjalankan kajian jangka panjang bagi menilai kedua-dua kesan yang dihasratkan serta kesan tidak dijangka daripada dasar tersebut.
“Kita tidak boleh melakukan ini tanpa penyelidikan dan kajian yang meneliti bagaimana pelaksanaan ini berkembang dari semasa ke semasa,” katanya.
Bagaimanapun, Heinecke menegaskan bahawa undang-undang sahaja tidak mampu menyelesaikan cabaran keselamatan dalam talian.
“Janganlah kita berfikir bahawa undang-undang dan denda boleh menyelesaikan setiap masalah, dan janganlah kita menyerahkan tugas keibubapaan kita sepenuhnya kepada pihak luar,” katanya.
Perbincangan itu turut diperkukuh oleh Ketua Pegawai Strategi dan Venture Fuze Group, Serena Sebastiani, yang menyatakan bahawa perlindungan kanak-kanak kini menjadi pertimbangan utama dalam tadbir urus AI antarabangsa.
Beliau menarik perhatian bahawa Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU), Unicef, dan Jawatankuasa Hak Kanak-Kanak PBB telah mengeluarkan kenyataan bersama awal tahun ini yang menggesa syarikat teknologi membangunkan sistem AI dengan meletakkan kesejahteraan kanak-kanak sebagai teras utama.
Menurut Sebastiani, AI kini menjadi teras kepada hampir setiap perkhidmatan digital, daripada platform penstriman hinggalah e-dagang, sekali gus menyukarkan usaha memisahkan tadbir urus AI daripada kerangka keselamatan dalam talian yang lebih luas.
Ketika kerajaan terus menambah baik undang-undang keselamatan dalam talian, ahli panel bersetuju bahawa kawal selia masa hadapan perlu menangani bukan sahaja platform media sosial hari ini, tetapi juga teknologi AI yang semakin membentuk cara kanak-kanak belajar, berkomunikasi, dan mengalami dunia digital. – 25 Julai, 2026
