KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata laporan Suruhanjaya Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH) tidak diterbitkan tiga tahun lepas kerana kerajaan mahu mengelakkan rakyat daripada hilang keyakinan terhadap agensi berkenaan.
Menurut Perdana Menteri, pendedahan laporan berkenaan pada ketika itu dikhuatiri boleh mencetuskan panik dalam kalangan pendeposit sehingga menyebabkan pengeluaran dana secara beramai-ramai yang berisiko melumpuhkan TH.
“Pada masa itu, tiga tahun lalu, kita tak mampu nak terbitkan. Kalau kita terbitkan, rakyat hilang keyakinan terhadap TH dan mereka tarik dana.
“Namun, sejak tiga tahun lalu pengurusannya bertukar di bawah Pengerusi Tan Sri Abdul Rashid Hussain yang mempunyai rekod pengurusan cemerlang. Tabung Haji kini kembali kukuh bertapak tetapi rakyat tetap perlu tahu,” katanya, lapor Bernama.
Semalam, Anwar berkata kerajaan bersedia mendedahkan laporan akhir RCI berkaitan TH dalam masa terdekat bagi membolehkan rakyat mengetahui hasil siasatan terhadap dakwaan penjualan aset strategik agensi itu.
Menurut Anwar, beliau akan meneliti keputusan untuk menerbitkan laporan itu bersama Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Dalam pada itu, Anwar berkata, ketegasan Kerajaan Madani dalam menangani isu penyelewengan dan menitikberatkan tatakelola adalah bagi memastikan institusi yang memegang amanah rakyat, khususnya umat Islam dan komuniti peneroka tidak terus terancam.
Perdana Menteri turut berkongsi perkembangan positif mengenai pemulihan institusi itu apabila dimaklumkan bahawa TH telah dianugerahkan Pengurusan Haji Terbaik bagi musim haji tahun ini.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung Amanah, Muhammad Faiz Fadzil, Naib Pengerusi Kebangsaan DAP Syahredzan Johan dan Timbalan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Shafi Muhammad dalam kenyataan bersama berkata Kabinet wajar membincangkan dan membuat keputusan sama ada laporan RCI itu boleh didedahkan kepada umum.
“Pakatan Harapan (PH) berpandangan ia penting demi kepentingan awam serta prinsip ketelusan dan akauntabiliti.
“Rakyat berhak mengetahui fakta sebenar agar segala persoalan yang berbangkit dapat diperjelas secara tuntas dan berdasarkan laporan rasmi,” kata mereka menerusi kenyataan itu.
Sementara Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan ketika menjawab soalan di Dewan Negara pada Rabu, berkata, keputusan berhubung cadangan mendedahkan laporan akhir RCI Tabung Haji (TH) kepada umum akan dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri, susulan terdapat kekeliruan dan dakwaan penjualan aset strategik TH oleh bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan.
“Saya ingin tegaskan dakwaan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan menjual aset strategik TH adalah tidak benar dan palsu. Apa yang berlaku sebenarnya ialah operasi menyelamat (bail out) institusi kewangan umat Islam yang terkesan akibat kerakusan penyelewengan dana pendeposit sebelum 2018,” katanya. – 24 Julai, 2026
