KUALA LUMPUR – Kejayaan menjadi tuan rumah penganjuran Grand Prix Formula 1 Gulf Air Bahrain di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) boleh membuka ruang kepada Malaysia untuk kembali menganjurkan F1 pada masa depan dengan sokongan kerajaan dan penajaan sektor swasta.
Justeru, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berharap Malaysia dapat memperuntukkan dana khusus dan memperoleh penajaan korporat bagi membolehkan F1 dianjurkan semula di negara ini pada tahun-tahun akan datang.
“Untuk MotoGP misalnya, Kabinet atas arahan Perdana Menteri memutuskan bahawa penganjurannya bukan hanya ditanggung oleh Kementerian Belia dan Sukan melalui peruntukan Kementerian Kewangan, sebaliknya turut melibatkan projek pembangunan, penajaan dan penganjuran secara bersama menerusi pendekatan perkongsian pintar (smart partnership),” katanya, lapor Bernama.
Beliau berkata demikian demikian pada Majlis Perasmian Siaga Bencana Udara Kebangsaan 2026: Bengkel Pengurusan Bencana Udara di sini, hari ini.
Semalam, Formula 1 mengesahkan Malaysia sebagai tuan rumah GP Bahrain susulan persetujuan yang dicapai antara Formula 1, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), serta Kerajaan Malaysia dan Bahrain.
Acara yang dijadual berlangsung di SIC dari 2 hingga 4 Oktober itu akan mengekalkan nama asalnya sebagai Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di Malaysia, tertakluk kepada persetujuan akhir dan kelulusan rasmi, termasuk daripada Majlis Sukan Permotoran Dunia.
Persetujuan itu membolehkan GP Bahrain kekal dalam kalendar F1 musim 2026 selepas perlumbaan berkenaan dibatalkan pada awal musim ini berikutan ketegangan geopolitik di Asia Barat.
Malaysia sebelum ini menjadi tuan rumah GP Malaysia di Sepang dari 1999 hingga 2017 sebelum perlumbaan itu digugurkan daripada kalendar F1.
Mengulas lanjut, Zahid berkata, penganjuran F1 GP Bahrain Gulf Air di Malaysia ini juga dijangka memberikan limpahan ekonomi jangka sederhana dan panjang menerusi peningkatan ketibaan pelancong serta pendedahan global, yang mampu menarik lebih banyak pelaburan dan acara bertaraf dunia.
Tambah beliau, walaupun kos penganjuran ditanggung Bahrain, Malaysia tetap memperoleh manfaat ekonomi kerana perlumbaan itu akan disaksikan oleh jutaan penonton di seluruh dunia, selain memperkukuh kedudukan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sebagai litar bertaraf dunia.
“Walaupun kita tahu perbelanjaannya besar, tetapi ini ditanggung oleh Bahrain. Kesan ekonomi bukan hanya dapat dilihat dari segi ‘inbound tourists’, tetapi juga daripada liputan media dan acara di seluruh dunia kerana penonton dan khalayaknya ialah berbilion.
“Ini akan memberikan kesan jangka sederhana dan panjang kepada negara kerana SIC mempunyai kemudahan bertaraf dunia, yang selama ini tidak digunakan sepenuhnya kecuali untuk MotoGP,” katanya. – 27 Julai, 2026
