KUALA LUMPUR – Polis menemui satu lagi bungkusan guni mengandungi tulang dipercayai rangka manusia berhampiran lokasi penemuan pertama di Behor Mali, Kangar, Perlis semalam.
Penemuan terbaharu itu dikesan kira-kira 31.1 meter dari lokasi penemuan awal yang dilaporkan pada 26 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, bungkusan guni berkenaan dijumpai seorang peniaga lelaki berusia 61 tahun pada jam 11 pagi ketika sedang menebas semak di tanah milik anak perempuannya.
“Pengadu menemui beberapa tulang yang tidak dikenal pasti dalam keadaan terburai dan terkeluar dari sebuah guni putih yang lusuh serta koyak. Guni tersebut ditemui separuh tertimbus dalam tanah dan dilitupi semak-samun di kawasan sempadan tanah rizab Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).
“Siasatan lanjut di lokasi kejadian turut menjumpai sehelai seluar dalam, sehelai seluar pendek yang lusuh dan koyak, serta seutas tali pinggang berhampiran guni berkenaan. Kita percaya tulang dan barangan tersebut telah lama ditinggalkan di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Misteri penemuan ini bermula pada 26 Julai lalu apabila seorang pekebun gempar menjumpai guni reput berisi tulang dipercayai rangka manusia di kawasan berhampiran di Behor Mali.
Penemuan pertama itu pada mulanya diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut (SDR) sementara menunggu analisis forensik dan identifikasi penuh dijalankan.
Klasifikasi semula kes bunuh
Menurut Yusharifuddin, kesemua barang kes terbaharu telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah kira-kira jam 4.30 petang semalam untuk analisis awal patologi.
Susulan penemuan bungkusan guni kedua ini, pihak polis mengesahkan bahawa kedua-dua kes kini diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh.
“Susulan penemuan terbaharu itu, kes kini diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Kes penemuan tulang pertama di lokasi berhampiran pada 26 Julai lalu juga telah diklasifikasikan semula di bawah seksyen yang sama,” katanya.
Sehubungan itu, polis menggesa mana-mana individu atau pihak yang kehilangan ahli keluarga supaya segera tampil ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Kes, Asisten Superintendan (ASP) Tengku Moh Farid Tengku Ibrahim di talian 019-9939200. – 6 Ogos, 2026
