KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng menggesa audit bebas dijalankan dengan segera selepas pengeluaran Pasport Malaysia Antarabangsa (PMS) dengan tempoh sah laku melebihi 10 tahun dihentikan berkuat-kuasa serta-merta.
Lim dalam kenyataannya berkata, audit berkenaan perlu dilakukan bagi menentukan siapa yang mencadangkan, menguji dan meluluskan dasar tersebut serta mendedahkan keseluruhan kos penggantian pasport yang terjejas.
Sekiranya, berlaku kecuaian atau ketidakcekapan serius, katanya, mereka yang bertanggungjawab mesti disingkirkan serta-merta.
Kerajaan, katanya, tidak boleh bereksperimen dengan pasport rakyat Malaysia dan kemudian mengetepikan masalah ini sebagai sekadar isu teknikal kerana ia merupakan kegagalan serius dari segi perancangan dan pengujian.
“Pasport bukan produk percubaan. Ia mesti berfungsi dengan lancar apabila rakyat Malaysia melakukan perjalanan ke luar negara.
“Jika pasport yang mempunyai tempoh sah laku melebihi 10 tahun benar-benar boleh diterima, mengapa Jabatan Imigresen menghentikan amalan tersebut secara tiba-tiba dan menawarkan penggantian percuma?
“Sesebuah agensi kerajaan tidak akan menggantung sesuatu program dan menanggung kos tambahan sekiranya tiada kesilapan besar berlaku,’’ katanya.

Semalam media melaporkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menghentikan serta-merta pengeluaran Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) dengan tempoh sah laku melebihi 10 tahun sehingga isu berkaitan diselesaikan bersama syarikat penerbangan dan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).
Ketua Pengarahnya, Datuk Zakaria Shaaban berkata, keputusan itu dibuat susulan kesulitan yang dihadapi beberapa pemegang pasport berkenaan ketika melakukan perjalanan ke luar negara.
Zakaria berkata, walaupun perkara itu telah dirujuk kepada ICAO dan maklum balas diterima tidak menghalang pelaksanaan tempoh sah laku pasport melebihi 10 tahun, kekeliruan timbul apabila beberapa pemegang pasport menghadapi masalah ketika mendaftar masuk dengan syarikat penerbangan tertentu di luar negara.
Baru-baru ini tular di media sosial dakwaan seorang pengembara Malaysia yang berdepan kesulitan ketika melakukan perjalanan di beberapa lapangan terbang luar negara susulan tempoh sah laku pasportnya melebihi 10 tahun.
Menerusi perkongsian di Threads, wanita itu mendakwa berdepan masalah berkaitan tempoh sah laku pasport ketika berada di Dubai, Johannesburg dan Windhoek kerana sistem digunakan pihak berkuasa atau syarikat penerbangan tertentu didakwa tidak dapat menerima pasport dengan tempoh sah laku melebihi 10 tahun.
JIM melancarkan PMA struktur baharu yang menawarkan tempoh sah laku sehingga 10 tahun berkuat kuasa mulai 1 Julai lepas bagi mengurangkan kekerapan pembaharuan pasport, menjimatkan masa pengguna serta memudahkan urusan perjalanan dalam dan luar negara.
Kadar bayaran bagi PMA dengan tempoh sah laku 10 tahun ditetapkan sebanyak RM350 manakala bayaran bagi PMA dengan tempoh sah laku lima tahun kekal pada harga RM200.
Mengulas lanjut, Lim berkata, Jabatan Imigresen mengakui sesetengah sistem syarikat penerbangan hanya menerima tempoh sah laku pasport sehingga 10 tahun justeru mengapa perkara ini tidak dikenal pasti sebelum 26,000 pasport dikeluarkan.
“Kesilapan ini mengakibatkan kerugian kewangan sebenar kepada negara. Pemberian penggantian percuma bermakna pembayar cukai terpaksa menanggung kos dua kali bagi buku pasport, cip mikro dan kos pentadbiran yang dibazirkan.
“Rakyat yang tidak bersalah pula kini terpaksa mengambil cuti dan beratur di kaunter Imigresen untuk membetulkan kesilapan yang bukan mereka lakukan,’’ katanya.
Tambah beliau, pihak yang meluluskan program itu perlu dikenal pasti dan mereka yang bertanggungjawab tidak boleh bersembunyi di sebalik alasan teknikal.
“Tiada alasan, tiada tindakan menuding jari dan tiada perlindungan untuk ketidakcekapan,’’ katanya. – 13 Ogos, 2026
.
