HEADLINES

‘Yang menyakau sesetengah sahaja, yang tanggung rakyat’: Anwar

Menolak dakwaan dendam politik, Anwar Ibrahim menegaskan komitmen kerajaan membongkar salah guna kuasa di institusi rakyat akan diteruskan ke atas Felda selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong

11:57 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa perbuatan “sakau” atau penyelewengan sememangnya berlaku dalam Lembaga Tabung Haji (TH), berikutan pendedahan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang membongkar kehilangan dana berbilion ringgit.

Menteri Kewangan itu berkata, istilah berkenaan tidak sepatutnya disanggah atau dielakkan sekiranya fakta secara jelas menunjukkan berlakunya ketirisan wang dalam institusi yang memegang amanah umat Islam.

“Ada orang tidak suka istilah sakau. Saya nak ulang di Melaka ini memang ada sakau dalam Tabung Haji. RM12 bilion hilang, bukan sakau? Memang ada sakau,” tegas beliau ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pada Kongres Nasional Keadilan 2026, hari ini.

Beliau menambah, tindakan tegas perlu dikenakan ke atas pihak yang bertanggungjawab tanpa sebarang kompromi atau perlindungan politik.

“Yang menyakau itu sesetengah sahaja, tetapi yang terpaksa bayar dan tanggung, seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama,” katanya.

Persoal kelewatan laporan RCI

Anwar turut mempertimbangkan tindakan pentadbiran terdahulu yang tidak mendedahkan laporan RCI berkenaan lebih awal, sedangkan dokumen tersebut telah siap sebelum beliau mengambil alih tampuk kepimpinan negara.

Beliau menyifatkan kerajaan hari ini tidak akan membiarkan isu berskala besar itu disapu ke bawah karpet atau dihindari daripada perbahasan terbuka di Parlimen.

Sehubungan itu, Perdana Menteri menyampaikan penghargaan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan serta Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan atas keberanian membentang dan menjawab isu RCI TH di Dewan Rakyat.

‘Salah, tangkap dan dakwa’

Mengulas tindakan susulan, Anwar memberi jaminan bahawa arahan jelas telah dikeluarkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan mengikut lunas undang-undang.

“Tidak kira dari parti mana, salah, tangkap dan dakwa,” tegasnya.

Beliau turut menolak sekeras-kerasnya tohmahan bahawa langkah pembersihan itu didorong oleh dendam politik.

Anwar membidas sikap segelintir pihak yang disifatkannya berniat hipokrit—menuntut ketegasan melawan rasuah, namun melabelkan tindakan perundangan sebagai dendam apabila ia melibatkan rakan politik mereka.

“Walaupun dia kelihatan pintar tetapi itu penuh hipokrasi sebenarnya, kerana bila tidak ambil tindakan kamu lembab, tetapi apabila kita bertindak, itu dendam,” bidas beliau.

Felda sasaran seterusnya

Dalam perkembangan sama, Perdana Menteri mendedahkan bahawa Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim turut menitahkan agar usaha merungkai kelemahan pengurusan institusi rakyat tidak terhenti setakat Tabung Haji sahaja.

Menurut Anwar, sebaik sahaja proses pemulihan dan tindakan berkaitan TH dimuktamadkan, tumpuan seterusnya akan dihalakan kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

Langkah itu, katanya, bagi memastikan semua institusi utama yang memegang kepentingan rakyat diuruskan secara telus, bertanggungjawab, dan bebas daripada sebarang bentuk penyelewengan. – 15 Ogos, 2026

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Cleared for layoffs? AirAsia to retrench 20% of workforce in major cost-cutting move

This allegedly involves cabin services, cargo and logistics, engineering and maintenance, as well as the commercial division, according to Scoop’s source

Related