◉ HEADLINES

Siasatan berkaitan TH boleh melangkaui skop laporan RCI : Anwar

Anwar berkata beliau tidak akan mencampuri proses siasatan atau pendakwaan, sambil meminta pihak berkaitan memberikan maklumat dan taklimat mengenai isu TH kepada Raja-Raja Melayu, manakala beliau sendiri memberikan penjelasan kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim

5:23 PM MYT

 

PUTRAJAYA – Siasatan dan tindakan pihak berkuasa berhubung isu Lembaga Tabung Haji (TH) boleh melangkaui skop serta tempoh yang diteliti Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata RCI menjadi asas utama kepada siasatan dan penelitian berhubung isu berkenaan, namun tiada halangan kepada pihak berkuasa untuk meneliti perkara yang berlaku sebelum atau selepas tempoh tersebut.

“Memang sekarang ini, semua tindakan dan kajian melangkaui RCI…RCI itu sebagai induk. Tak ada halangan kaji sebelum dan selepas, dan ini yang dilakukan oleh badan penguatkuasaan dan penyiasatan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutupan sesi libat urus Belanjawan 2027, di sini hari ini.

Terdahulu dalam ucapan penutupnya, Anwar mengarahkan supaya tindakan susulan berhubung isu TH dilaksanakan secara tegas dan segera.

Beliau menegaskan tidak akan mencampuri proses siasatan atau pendakwaan, sambil meminta pihak berkaitan memberikan maklumat dan taklimat mengenai isu TH kepada Raja-Raja Melayu, manakala beliau sendiri memberikan penjelasan kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

“Kebetulan dalam kes ini, Yang di-Pertuan Agong berikan panduan mudah…tegas. Jadi memudahkan tindakan kita…dan arahan saya, nak campur penyiasatan tidak boleh, pendakwaan tidak boleh. Tapi saya boleh beri pengarahan umum. Tegas, cepat. Jangan bagi dalih, jangan takut siapa. Mesti bertindak,” katanya.

@scoopdotmy

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan supaya tindakan susulan berhubung isu TH dilaksanakan secara tegas dan segera. Beliau menegaskan tidak akan mencampuri proses siasatan atau pendakwaan, sambil meminta pihak berkaitan memberikan maklumat dan taklimat mengenai isu TH kepada Raja-Raja Melayu, manakala beliau sendiri memberikan penjelasan kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim. Anwar berkata tindakan tegas tanpa tolak ansur itu perlu diambil dalam usaha menyelamatkan negara, meskipun langkah sedemikian membawa risiko politik. #TabungHaji #AnwarIbrahim #Belanjawan2027 #Malaysia

♬ original sound – Scoopdotmy

Anwar berkata tindakan tegas tanpa tolak ansur itu perlu diambil dalam usaha menyelamatkan negara, meskipun langkah sedemikian membawa risiko politik.

Beliau berkata selepas TH, kerajaan juga akan memberikan perhatian kepada isu Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) meskipun mengakui tindakan itu bukan sesuatu yang mudah kerana perlu berdepan realiti politik, namun beliau bersedia mengambil risiko dan meneruskannya.

“Saya bukan hendak memberi alasan. Saya cuma mengatakan bahawa inilah realiti politik sebenar yang perlu kita hadapi.

“Jika ditanya kepada saya…saya sudah nyatakan bahawa saya bersedia mengambil risiko. Saya mengambil risiko itu dan akan terus bergerak ke hadapan. Ia menyebabkan saya terpaksa membayar harga politik yang tinggi. Pada usia sekarang, saya fikir saya tidak seharusnya terlalu bimbang mengenainya,” kata beliau.

Anwar turut menegaskan bahawa beliau tidak akan berkompromi dalam soal tatakelola dan penyelewengan terutama apabila melibatkan dana dalam jumlah besar.

Mengaitkan soal tatakelola dengan kepentingan Belanjawan 2027, Perdana Menteri berkata ketirisan dan kelemahan tadbir urus boleh menyebabkan kerajaan kehilangan dana yang sepatutnya digunakan untuk membantu rakyat.

Sesi Libat Urus Belanjawan 2027 itu turut dihadiri Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) Tan Sri Johan Mahmood Merican.

Bertemakan “Malaysia MADANI: Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi”, Belanjawan 2027 merupakan belanjawan kelima negara di bawah Kerajaan MADANI.

Hampir 400 peserta daripada agensi kerajaan, sektor swasta dan industri, akademia, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan masyarakat sivil (CSO) serta pertubuhan antarabangsa memberikan pandangan dan mengemukakan cadangan untuk memantapkan penyediaan Belanjawan 2027. – 18 Ogos, 2026

Topics

 

◉ Hangat

Budget 2026: RM580m boost for sports development

Funding will strengthen elite programmes, prepare for the 2027 SEA and Asean Para Games, and upgrade facilities while expanding support for para-athletes

‘Tambah spot busking di Bukit Bintang’ Bob Sentuhan Buskers mohon DBKL beri pertimbangan

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diminta menambah lagi ‘spot’ untuk pemuzik jalanan di ibu kota mengadakan persembahan terutama di kawasan sekitar Bukit Bintang yang menjadi tumpuan pelancong luar.

Noki K-Clique sedang mengenali seorang pelakon wanita, rancang berkahwin usia 30 pada tahun hadapan

Melihat rakan-rakan seperjuangan lain sudah mendirikan rumahtangga, ia membuatkan rapper dan juga pelakon, Noki K-Clique berasa tertekan serta mahu mengikut jejak langkah yang sama

◉ Related