KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim mahu meneliti isu kemalangan melibatkan permainan roller coaster di sebuah taman tema popular di Subang Jaya, untuk dibawa sebagai usul ke Parlimen.
Kemalangan berkenaan mengakibatkan 10 pengunjung cedera namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Shahidan dalam hantaran di Facebooknya berkata, untuk itu, beliau meminta mereka yang mempunyai maklumat berkaitan supaya disalurkan kepadanya.
“Dikatakan ada satu kes melibatkan taman tema.
“Jika ada yang mempunyai maklumat atau info berkaitan, mohon berikan kepada saya untuk diteliti dan dibawa sebagai usul di Parlimen,’’ katanya ringkas menerusi hantaran berkenaan.
Semalam, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Wan Azlan Wan Mamat, berkata seramai 10 pengunjung cedera dalam kemalangan roller coaster di sebuah taman tema di Subang Jaya, pada Sabtu lepas.
Ketika kejadian kira-kira jam 9 malam itu, seramai 22 pengunjung termasuk pelancong asing berusia antara 11 hingga 44 tahun sedang menaiki permainan berkenaan.
“Akibat kemalangan itu, 10 mangsa mengalami kecederaan dan dibawa ke pusat perubatan sekitar Subang Jaya untuk mendapatkan rawatan.
“Kesemua mangsa hanya mengalami kecederaan ringan dan tiada kematian dilaporkan,” katanya.
Wan Azlan berkata, polis telah melancarkan siasatan bagi menentukan keadaan yang membawa kepada kejadian tersebut.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan serta menggesa sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan supaya tampil ke hadapan dan membantu siasatan, sambil menegaskan bahawa identiti semua pemberi maklumat akan dirahsiakan. – 25 Ogos, 2026
