KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kepong. Lim Lip Eng mempersoalkan sama ada polis mengamalkan layanan berbeza dalam isu kesilapan pemasangan bendera Jalur Gemilang melibatkan MCA Perak dan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), baru-baru ini.
Ini kerana, katanya, dalam kes pemasangan bendera di Kulai pada awal bulan ini yang menyaksikan dua orang ditahan dan direman selama empat hari selain perlu menjalani ujian air kencing.
Namun dalam kes melibatkan MCA Perak, pihak terlibat hanya sekadar dirakam percakapan tanpa ditahan manakala alasan ‘kesilapan teknikal’ Majlis Bandaraya Kuala Terengganu yang mengibarkan Jalur Gemilang tanpa bulan dan bintang telah diterima dan tiada tangkapan dilaporkan.
Justeru beliau mendesak Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail menjelaskan mengenai apa yang didakwanya sebagai layanan dua darjat itu.
“Pendirian saya jelas. Jika kesilapan memasang Jalur Gemilang benar-benar tidak disengajakan, segera diperbetulkan dan disusuli permohonan maaf, tiada sesiapa patut ditangkap.
“Ketua Polis Negara mesti segera menjelaskan layanan dua darjat ini. Jika beliau gagal memberikan jawapan yang munasabah atau terus membisu seperti dalam kes Kulai, beliau mesti meletakkan jawatan atau dipecat serta-merta.
“Kesilapan hampir sama, tetapi layanan polis jauh berbeza. Adakah tindakan polis bergantung pada siapa yang terlibat,’’ soalnya menerusi kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Menurut Lim, polis tidak boleh bertindak keras terhadap rakyat biasa tetapi berlembut apabila melibatkan orang kenamaan dan agensi kerajaan.
“Itu bukan keadilan. Itu pilih kasih,’’ katanya.
Pada 18 Ogos lalu, media melaporkan seorang lelaki Nepal dan perempuan tempatan diberkas bagi membantu siasatan berhubung kes pemasangan terbalik bendera Malaysia dan negeri Johor di sebuah kilang di Indahpura.
Kedua-dua mereka direman selama empat hari sehingga 21 Ogos namun mereka tidak memiliki rekod jenayah lampau dan ujian air kencing juga negatif.
Sementara pada Jumaat, MCA Perak mengambil tanggungjawab sepenuhnya berhubung kesilapan pemasangan Jalur Gemilang dan bendera negeri Perak secara terbalik yang tular di media sosial dengan kakitangan terbabit telah meletakkan jawatan serta-merta.
Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Negeri MCA Perak Datuk Dr Mah Hang Soon berkata pihaknya memandang serius kejadian itu dan memohon ampun kepada Sultan Perak Sultan Nazrin Shah serta memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia berhubung kesilapan berkenaan.
Mah berkata, kejadian berlaku pagi semalam apabila seorang kakitangan Ibu Pejabat MCA Perak yang ditugaskan memasang Jalur Gemilang serta bendera negeri Perak sempena sambutan Bulan Kebangsaan melakukan kesilapan berkenaan.
Pada 10 Ogos lalu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata, kejadian pemasangan Jalur Gemilang tanpa lambang bulan dan bintang di Dataran Batu Buruk, di Terengganu, bukan dilakukan secara sengaja sebaliknya berpunca daripada kesilapan teknikal.
Sementara itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Datuk Lizan Che Mat menjelaskan, bendera berkenaan pada asalnya mempunyai simbol bulan dan bintang yang dijahit terpisah, namun bahagian tersebut tercabut akibat angin kencang.
Menurut beliau, pihak MBKT telah mengambil tindakan serta-merta dengan menurunkan bendera terjejas pada hari kejadian dan menggantikannya dengan Jalur Gemilang baharu. – 29 Ogos, 2026
