Shalom Avitan, pelanggan yang pendiam tapi beri tips yang banyak

Warga Israel yang menggemparkan rakyat Malaysia kerana ditahan bersama senjata api itu akan memberi tips antara RM50–RM100 setiap kali makan di restoran Itali terkenal, Luce Osteria

8:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Lelaki warga Israel, Shalom Avitan digambarkan sebagai seorang lelaki pendiam dan ‘pemurah’ kerana memberikan tips yang banyak kepada pelayan.

Malah Avitan sering makan di sebuah restoran Itali, Luce Osteria Contemporanea sebelum ditangkap pada 27 Mac lalu.

Terkenal dengan pizzanya, restoran Itali di Old Malaya, Jalan Raja Chulan itu disenaraikan sebagai antara 10 restoran Pizza terbaik di Asia.

Restoran itu disenaraikan dalam kategori Top 10 Asia 2020, berdasarkan anugerah Itali ‘50 Top Pizza 2020′.

Terdahulu, Avitan yang memegang pasport Perancis, ditangkap bersama enam pucuk senjata api termasuk Glock 19 Marine, Glock 17 Gen 4, Smith and Wesson di sebuah hotel di Jalan Ampang.

Siasatan yang dijalankan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Cawangan Khas (SB), mendapati lelaki tersebut memasuki negara ini pada 12 Mac lalu dengan menggunakan pasport Perancis menerusi penerbangan dari Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Media asing mendakwa lelaki berusia 38 tahun itu adalah sekutu keluarga jenayah Musli Brothers, iaitu sindiket mafia Yahudi yang terkenal, dan dikatakan dalam perjalanan untuk membunuh ketua keluarga daripada kumpulan jenayah seteru.

Pengusaha Luce Osteria Contemporanea, Roberto Guiati mendedahkan, kehadiran Shalom Avitan di restorannya menggembirakan para pekerja kerana dia akan membayar secara tunai dan memberi tips besar kepada mereka. – Abdul Razak Latif/Scoop, 6 Mei, 2024

Pengusaha Luce Osteria, Roberto Guiati dalam pertemuan bersama Scoop berkongsi cerita bagaimana beliau dan pekerjanya berdepan dengan Avitan, yang gemarkan pizza Margarita.

“Pizza Margarita adalah kegemarannya. Dia juga memesan pasta dan makanan laut,” kata Guiati.

Dapat difahami mengapa Avitan memesan makanan laut dan hidangan sayur ketika berada di restoran tidak halal/bukan kosher itu.

Bagaimanapun, menurut salah seorang pekerja di situ, Avitan pernah memesan enam ‘peg’ whisky sekali datang.

“Kami turut menghantar makanan ke bilik hotel beberapa kali (siasatan mendedahkan dia pernah menetap di Westin di Bukit Bintang).

“Dia akan menghabiskan masa selama beberapa jam di restoran kami, makan bersendirian dan asyik berbual di telefon tanpa kami fahami perbualannya. Kami menghormati privasi dan tidak akan mengintip perbualan pelanggan.

“Pekerja kami kami cuba beramah mesra dengannya sama seperti pelanggan lain, namun dia tidak bercakap banyak. Dia seorang yang pendiam tetapi `memberikan tips yang banyak,” katanya.

Beliau berkata, pekerjanya sentiasa gembira melihat Avitan selalu membayar tunai, yang dibawa dalam jumlah yang banyak.

“Dia seorang pelanggan yang baik dan akan memberi tips antara RM50 – RM100 setiap kali datang,” kata Guiati.

Melihat kepada menu, lelaki Israel itu akan membelanjakan kira-kira RM300 setiap kali duduk.

“Dia tidak pernah bertanya kepada mana-mana pekerja saya mengenai tempat menarik untuk dilawati di Kuala Lumpur atau mana-mana tempat makan lain,’’ tambah Guiati.

Avitan yang biasanya memakai baju polo dan seluar panjang mempunyai pemandu yang kadang-kadang akan mengambil pesanannya.

Pada masa sama, Guiati berkata, beliau tidak pernah curiga ketika lelaki Israel itu datang ke restorannya sehinggalah beliau mengetahui identiti Avitan daripada polis.

Dalam wawancara eksklusif bersama Scoop, Guiati turut bercerita tentang Avitan yang pernah menghabiskan masa beberapa jam di restorannya bersendirian, selain menggemari pizza Margarita. – Abdul Razak Latif/Scoop, 6 Mei, 2024

“Saya sangat terkejut apabila saya mengetahui identitinya, tapi saya tidak mengetahui keadaan sebenar sehinggalah saya mengetahui mengenainya menerusi berita.

“Kakitangan saya memaklumkan polis datang ke restoran dan mahu melihat kamera CCTV kami untuk siasatan mereka.

“Mereka sentiasa menghormati perniagaan dan waktu operasi kami, mereka tidak masuk campur.

“Polis menyoal saya dan beberapa pekerja saya, dan kami juga memastikan dapat membantu mereka dengan semua yang diperlukan dalam siasatan. Mereka sangat profesional dan menjalankan siasatan dengan beradab,” katanya, sambil menambah pegawai polis datang pada waktu dan hari berbeza.

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memberitahu Scoop bahawa meskipun suspek utama telah didakwa, namun siasatan diteruskan bagi mengetahui motif sebenar Avitan.

Shalom Avitan, 38, didakwa di bawah seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 [Akta 206] kerana memiliki amunisi tanpa suatu lesen senjata atau permit senjata. – 6 Mei, 2024

Topics

Hangat

Fuad has no right to intervene in Sabah 40% special grant case: Kitingan

Deputy CM asserts that the lawyer has no authority to speak for state govt as he was not appointed

‘Non-Bumiputera doctors don’t even want to enrol at UiTM,’ says Umno’s Akmal

Umno Youth chief says certain quarters with ‘political interests’ are harping on the issue to disrupt racial harmony

Dilabel tidak cakna tentang All Eyes on Rafah di sesi live IG, ini jawapan Ning Baizura

Penyanyi Ning Baizura menjelaskan bahawa dia bukanlah tidak sensitif mengenai isu Palestin atau tidak cakna tentang All Eyes on Rafah sewaktu melakukan video live di Instagram (IG) miliknya pada Selasa lalu.

Related