◉ HEADLINES

Vokalis BPR Joey meninggal dunia pada usia 63 tahun

Hasil pemeriksaan doktor mendapati terdapat pendarahan di kepala serta komplikasi berkaitan jantung

1:35 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Vokalis kumpulan Bumiputra Rockers (BPR) Johari Mat Rozekhi atau lebih dikenali sebagai Joey BPR, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kira-kira 8.11 pagi tadi.

Setiausaha Agung Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) Hafiz Nafiah berkata Allahyarham yang berusia 63 tahun dilaporkan rebah selepas selesai membuat persembahan pada satu acara di ibu negara, malam tadi sebelum dikejarkan ke HKL untuk mendapat rawatan.

Beliau berkata hasil pemeriksaan doktor mendapati terdapat pendarahan di kepala serta komplikasi berkaitan jantung.

Hafiz berkata jenazah Allahyarham masih berada di HKL dan akan dibawa ke Masjid Ukay Perdana, manakala urusan seterusnya akan dimaklumkan kemudian.

Berita pemergian Joey turut dimaklumkan oleh isterinya, Zarinah Zainal, menerusi hantaran di akaun Facebook Allahyarham, hari ini.

Dalam hantaran itu, Zarinah memaklumkan bahawa suaminya telah kembali ke rahmatullah dan memohon orang ramai menyedekahkan bacaan al-Fatihah buat Allahyarham.

Hafiz berkata Joey merupakan antara nama besar yang mewarnai perjalanan muzik rock tanah air sejak era 1980-an, dengan BPR mula aktif pada 1985.

“Joey menjadi antara figura penting yang mengangkat nama BPR sebagai antara kumpulan rock yang mempunyai pengaruh besar dalam industri muzik Malaysia,” katanya.

Beliau berkata sepanjang perjalanan karier Joey bersama-sama BPR, penyanyi itu menghasilkan karya yang terus dikenang sehingga kini, antaranya Aku Hanya Serangga, Dari Sinar Mata dan Seribu Tahun Takkan Mungkin.

Hafiz berkata bagi warga Seniman, pemergian Joey bukan sahaja kehilangan seorang penyanyi dan penghibur berpengalaman, malah seorang sahabat serta pejuang industri seni yang pernah menggalas tanggungjawab sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) Seniman.

“Seniman percaya bahawa nama Joey BPR akan terus hidup melalui karya yang pernah beliau perjuangkan bersama dengan BPR dan kenangan yang ditinggalkan kepada para peminat serta seluruh warga industri hiburan tanah air,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan dan terima kasih atas segala jasa serta sumbangan Allahyarham kepada industri muzik dan seni tanah air, selain menyampaikan salam takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham, khususnya isterinya Zarinah, anak-anak serta sanak saudara. – 29 Ogos, 2026

Topics

 

◉ Hangat

I recommended the seven heritage players: Tengku Muda Pahang

Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah said the footballers were recommended to the Football Association of Malaysia (FAM) through proper channels with the genuine intention of strengthening the national team

Home Ministry’s 6 banned books mostly young adult romances, 3 of them LGBT-related

Ministry says bans are a 'preventative action' against harm from content it deems unsuitable for public consumption.

Pas sacks three Perlis assemblymen over alleged mutiny against MB

The party expels Saad Seman, Fakhrul Anwar Ismail, and Mohd Ridzuan Hashim following their submission of statutory declarations against the Menteri Besar’s leadership

◉ Related