HEADLINES

“Tutup projek tak praktikal”: Ahmad Zahid arah KKDW kemas kini komitmen tertangguh

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletakkan tempoh empat bulan terakhir 2026 untuk menyelesaikan semua projek, isu tanah, dan pembayaran tertangguh demi memastikan rantaian ekonomi desa tidak terjejas

12:09 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) diarah membuat keputusan drastik membatalkan serta menutup mana-mana projek yang tidak lagi praktikal atau berdaya maju daripada terus meletakkan bebanan kos dan melembabkan sistem pentadbiran kerajaan.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletakkan kata putus itu susulan pelancaran “Operasi Sifar Tertangguh” bagi tempoh empat bulan terakhir 2026, khusus untuk mengemas kini serta menyelesaikan segala tunggakan projek, isu tanah, utiliti, hingga ke pembayaran kontraktor.

“Baki empat bulan untuk tahun ini, saya mahu kita kurang menambahkan perkara-perkara baharu, dan lebih banyak menyelesaikan apa yang telah kita mulakan. (Jadi) saya mahu seluruh bahagian, jabatan dan agensi melaksanakan Operasi Sifar Tertangguh,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan KKDW di Putrajaya, hari ini.

Ahmad Zahid menegaskan, semakan menyeluruh perlu dimuktamadkan dalam tempoh sebulan ini dengan mengelompokkan semua kekangan yang wujud kepada tiga kategori tindakan khusus.

“Kemudian saya mahu ia dibahagikan dengan jelas kepada tiga kategori, iaitu yang boleh diselesaikan (selesaikan segera), memerlukan keputusan atau intervensi lebih tinggi dan tetapkan siapa yang perlu membuat keputusan, dan (projek) yang tidak lagi praktikal atau berdaya maju jangan terus simpan dalam sistem tetapi buat keputusan dan tutup,” tegas beliau.

Menurutnya lagi, keupayaan melaksana sesuatu rancangan adalah sama penting dengan proses merancang itu sendiri. Beliau menyelar kelewatan isu teknikal seperti pengambilan tanah dan penyelarasan utiliti yang sering menjadi punca wujudnya jurang pelaksanaan.

“Kelewatan pengambilan tanah, penyelarasan utiliti, masalah kontraktor, keputusan yang tertangguh atau kelemahan penyelarasan antara agensi boleh mewujudkan jurang pelaksanaan sehingga rakyat tidak menerima manfaat projek pada waktunya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memberi perhatian serius terhadap kelewatan bayaran kepada kontraktor — terutamanya bagi projek Jalan Luar Bandar yang telah memenuhi kemajuan kerja — kerana ia memberi impak rantaian yang merosakkan ekonomi tempatan.

“Kelewatan bayaran bukan sahaja memberikan tekanan kepada kontraktor, malah boleh menjejaskan aliran tunai pembekal, subkontraktor, pekerja dan penyedia perkhidmatan, sekali gus memberikan kesan kepada keseluruhan rantaian ekonomi di sesuatu kawasan,” jelaskannya.

Menutup ucapannya, Ahmad Zahid mengingatkan bahawa kecekapan sesebuah kerajaan tidak dinilai daripada angka projek yang besar, sebaliknya daripada penyelesaian sebenar yang dapat dirasai oleh rakyat di peringkat akar umbi.

“Lebih baik kita memberikan tumpuan kepada perkara-perkara yang benar-benar diperlukan, menyediakan sumber yang mencukupi dan memastikan ia disempurnakan dengan baik daripada mengejar jumlah projek yang besar tetapi meninggalkan terlalu banyak komitmen yang perlu diselesaikan.

Kemampuan sesebuah kerajaan bukan hanya dinilai berdasarkan sebaik mana ia merancang, tetapi sejauh mana ia mampu menyelesaikan masalah rakyat,” tegas beliau. – 1 Sept, 2026

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Cleared for layoffs? AirAsia to retrench 20% of workforce in major cost-cutting move

This allegedly involves cabin services, cargo and logistics, engineering and maintenance, as well as the commercial division, according to Scoop’s source

Short-lived La Niña expected in early 2026, but stable weather to follow

MetMalaysia forecasts cool conditions and brief shifts in rainfall patterns before returning to normal

Related