HEADLINES

14 MoU bernilai RM1.49 bilion ditandatangani pada pembukaan MAHA Trade Days 2026

Kementerian mensasarkan kira-kira RM8 bilion komitmen pelaburan dan perdagangan sepanjang tiga hari MAHA Trade Days bersempena dengan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026

2:21 PM MYT

 

SERDANG – Sebanyak 14 Memorandum Persefahaman (MoU) bernilai RM1.49 bilion ditandatangani pada pembukaan MAHA Trade Days 2026 hari ini, sekali gus mencerminkan keyakinan pelabur terhadap potensi dan prospek sektor agromakanan Malaysia.

Menurut Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, pihaknya menyasarkan kira-kira RM8 bilion komitmen pelaburan dan perdagangan sepanjang tiga hari MAHA Trade Days bersempena dengan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026.

“Alhamdulillah, keyakinan pelabur terhadap industri makanan dan juga yang bersangkut paut dengan makanan (semakin baik), kita mencapai RM1.49 bilion dan sasaran RM8 bilion.

“Jadi produk agromakanan Malaysia kita harap lepas ini lebih banyak berada di pasaran antarabangsa,” katanya, lapor Bernama.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyaksikan MoU pada MAHA Trade Days 2026, di sini hari ini.

Program tiga hari itu menghimpunkan hampir 2,000 pempamer yang mempunyai produk sedia dieksport serta 40 pembeli antarabangsa terdiri daripada pemborong, pengedar dan peruncit daripada pelbagai pasaran antarabangsa.

MAHA Trade Days 2026 dijangka dapat mencetuskan lebih banyak padanan perniagaan, peluang pelaburan, kerjasama teknologi dan akses pasaran baharu, sekali gus menyokong usaha memperkukuh daya saing industri agromakanan Malaysia serta meningkatkan kehadiran produk tempatan di pasaran global.

Sementara itu, Mohamad berkata pihaknya mahu setiap produk agromakanan dipasarkan ke peringkat global dengan kerjasama yang lebih baik dengan industri.

“Insya-Allah kali ini telah ada barangan Malaysia (pada peringkat global) tetapi kita nak ketengahkan lagi supaya lebih tinggilah pemasaran barangan buatan Malaysia, khasnya hal yang bersangkut paut dengan makanan ke negara lain.

“Ini termasuk kita akan cuba memupuk kerjasama yang lebih baik untuk Afrika. Kita tahu Afrika sekarang juga sedang membangun dan kita juga akan tumpu pada perkara itu,” katanya.

Beliau berkata pihaknya mengenal pasti produk kopi, koko, nanas dan durian sebagai antara produk agromakanan yang berpotensi untuk dipasarkan ke peringkat global.

“Kopi yang diproses di Malaysia ini saya lihat sudah merata ada di dunia ini dan perlu dipertingkatkan. Itu salah satulah, yang lain-lain tu nanas, durian dan semua yang sedia ada,” katanya.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam kenyataan memaklumkan kerjasama yang dimeterai dalam MoU meliputi pelbagai subsektor strategik agromakanan.

Ia termasuk input pertanian, pengeluaran dan pemprosesan hasil pertanian, industri ternakan, produk makanan halal, nanas, pembangunan produk pertanian serta teknologi dan pembangunan kapasiti.

Antara kerjasama bernilai tinggi yang direkodkan ialah pembangunan loji pemprosesan nanas di Tukau, Miri, Sarawak bernilai RM1.03 bilion, selain kerjasama strategik dalam pengeluaran dan pengedaran produk pertanian, pengembangan kapasiti ladang ayam pedaging berteknologi tinggi serta pembangunan baja khusus bagi tanaman nanas. – 1 September, 2026

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

Short-lived La Niña expected in early 2026, but stable weather to follow

MetMalaysia forecasts cool conditions and brief shifts in rainfall patterns before returning to normal

Related