KUALA LUMPUR – Bersedia untuk bertanding bersendirian jika rundingan gagal dicapai, Pakatan Harapan (PH) bakal memulakan perbincangan dalaman seawal minggu ini bagi menentukan strategi khusus menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari mengesahkan setakat ini belum ada sebarang perbincangan rasmi diadakan bersama Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh bagi memuktamadkan jajaran kerjasama.
Menteri Besar Selangor itu menegaskan jentera PH kini giat mempersiapkan pelbagai senario—sama ada mengulang model bertanding solo seperti di PRN Johor dan Negeri Sembilan, atau membentuk formula kerjasama baharu.
“PH akan membuat persediaan dalam pelbagai situasi dan keadaan itu maknanya adakah keadaan seperti di (PRN) Johor atau Negeri Sembilan, atau situasinya berbeza,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan Milikan Kosong (VP) NCT Smart Industrial Park (NSIP) di sini, hari ini.
Amirudin yang juga Naib Presiden PKR memaklumkan perbincangan dalaman pimpinan PH dalam satu atau dua hari lagi bertujuan mengunci langkah khusus sebelum bahang kempen bermula.
Meskipun rundingan agihan kerusi lazimnya meleret sehingga hari penamaan calon, PH memilih untuk bergerak lebih awal selepas Perdana Menteri merangkap Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi mandat penuh kepada Amirudin pada 25 Ogos lalu untuk memperincikan bentuk kerjasama serta pembahagian kerusi bersama BN.
Mandat Kerajaan Negeri Melaka dijadualkan tamat pada 31 Disember ini.
Pada PRN Melaka ke-15 lalu, BN membentuk kerajaan selepas menguasai 21 daripada 28 kerusi DUN, manakala PH meraih lima kerusi dan Perikatan Nasional memenangi dua kerusi. – 8 September, 2026
