◉ HEADLINES

Abdul Aziz dilantik Timbalan Ketua Polis Negara: Saifuddin

Pelantikan itu diperkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim atas nasihat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis, selaras dengan Fasal 4 dan 5 Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan

2:38 PM MYT

 

PUTRAJAYA – Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Majid dilantik Timbalan Ketua Polis Negara berkuat kuasa 9 September lalu.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pelantikan itu diperkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim atas nasihat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis, selaras dengan Fasal 4 dan 5 Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan.

“Berdasarkan kepakaran dan pengalaman dalam bidang kepolisan, Abdul Aziz mempunyai kompetensi dan daya kepimpinan yang tinggi sebagai Timbalan Ketua Polis Negara. 

“Kerajaan mengucapkan syabas dan tahniah atas pelantikan ini,” kata Saifuddin Nasution dalam kenyataan hari ini.

Abdul Aziz, 59, dilahirkan pada 19 Feb 1967 di Penaga, Pulau Pinang dan memiliki Ijazah Sarjana Sains Sosial (Pengajian Kepolisan) dari Universiti Kebangsaan Malaysia.

Beliau menyertai PDRM pada 1 Julai 1995 dan sepanjang tempoh perkhidmatannya telah ditempatkan di pelbagai jabatan, termasuk Jabatan Pengurusan, Jabatan Cawangan Khas, Jabatan Siasatan Jenayah, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Jabatan Logistik dan Teknologi serta Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti.

Berbekalkan pengalaman dan kepakaran dalam bidang kepolisan, beliau turut memegang pelbagai jawatan strategik, antaranya Pengarah Pengurusan, Timbalan Pengarah Cawangan Khas, Timbalan Pengarah Narkotik, Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Ketua Penolong Pengarah Pengurusan Dasar/Sumber dan Ketua Penolong Pengarah Pasukan Khas Siasatan Bersepadu.

Abdul Aziz juga pernah menghadiri pelbagai kursus dan seminar antarabangsa, termasuk The 8th International Symposium of Best Police Practice di Dubai, Emiriah Arab Bersatu serta Intelligence Management Development Programme di Australia. – 14 September, 2026

Topics

 

◉ Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Cleared for layoffs? AirAsia to retrench 20% of workforce in major cost-cutting move

This allegedly involves cabin services, cargo and logistics, engineering and maintenance, as well as the commercial division, according to Scoop’s source

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

◉ Related