HEADLINES

‘Kalau Raja boleh ditukar ikut bulan, sistem Raja akan gagal’: Anwar tempelak orang politik Negeri Sembilan

Perdana Menteri menegaskan institusi Diraja mesti tunduk kepada Perlembagaan, bukan mengikut kehendak politik sempit yang mahu merombak takhta Negeri Sembilan

9:19 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar tindakan sesetengah pihak politik yang cuba memanipulasi Institusi DiRaja, sambil memberi amaran keras bahawa Sistem Beraja akan runtuh sekiranya kedudukan Raja Melayu boleh “ditukar mengikut bulan” demi kepentingan politik tertentu.

Anwar menegaskan, kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir adalah sah mengikut lunas Perlembagaan dan tidak boleh diganggu gugat oleh mana-mana pihak.

Beliau menempelak sikap talam dua muka sesetengah politikus yang kononnya mempertahankan institusi berkenaan, namun bertindak sebaliknya apabila keputusan Istana tidak memihak kepada mereka.

“Di Negeri Sembilan, orang yang bising-bising, Raja Melayu, Raja Melayu, Raja Melayu, tapi bila keputusan tak selari dengan dia, mahu buang itu Raja Melayu…saya tak boleh terima, kita ikut Perlembagaan dan undang-undang.

“Kalau Raja ini kita boleh tukar-tukar ikut bulan, sistem Raja akan gagal. Sebab itu Yang di-Pertuan Agong faham, Raja yang ada sah. Maksudnya ikut prosesnya sebagaimana ada dalam Perlembagaan dan undang-undang.

“Dia nampak kurang stabil kerana ada orang politik yang mahu jadikan isu. Dia mahu Raja ikut dia. Raja mesti ikut Perlembagaan. Raja jangan ikut orang politik, negeri akan rosak,” tegas Anwar.

Kenyataan lantang itu disuarakan Perdana Menteri ketika berucap pada Majlis Perasmian Pesta Kebudayaan Cina Malaysia Ke-41 di Kota Syahbandar, malam tadi.

Majlis itu turut dihadiri Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Steven Sim Chee Keong serta Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Salhah Salleh.

Krisis perlembagaan di Negeri Sembilan sebelum ini menyaksikan Jabatan Peguam Negara (AGC) mengisytiharkan proklamasi berhubung kedudukan Tuanku Muhriz bertarikh 19 April sebagai tidak sah kerana membelakangkan Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.

AGC memuktamadkan bahawa Menteri Besar Datuk Ismail Lasim dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) tidak mempunyai sebarang kuasa unilateral untuk menamatkan atau mengosongkan takhta Yang di-Pertuan Besar.

Selari dengan ketetapan itu, Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan sekali lagi menegaskan bahawa Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah serta Pengerusi DKU. – 21 September, 2026

Topics

 

Hangat

Inside the Bandar Utama school tragedy: a timeline of the shocking fatal stabbing

A look at the events surrounding the stabbing of a 16-year-old student, with ongoing investigations into the suspect's motives and the role of online violence

Schools may close if air quality worsens, five areas hit unhealthy levels: DOE

The department said the areas recorded unhealthy API readings, warns of RM1mil fine for open burning offenders

SMART team leaves for Nepal, to focus on last known area of missing Malaysians

11-member team will be in disaster area for 10 days

Related