KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak masih tidak mampu membayar RM50 juta bagi membolehkannya beliau menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu, susulan pembekuan harta dan beberapa akaun, keadaan kewangan Najib ketika ini tidak membolehkannya menyediakan jumlah berkenaan, yang merupakan syarat utama pengampunan bersyarat ke atas beliau.
“Setakat hari ini, Datuk Seri Najib sendiri tidak mampu membayarnya. Beliau tidak mampu membayar.
“Akaun bank Najib dibekukan, termasuk akaun Affin Bank yang digunakan untuk menerima gaji sebagai Perdana Menteri dan Ahli Parlimen sebelum ini,” katanya pada sidang media di luar Kompleks Mahkamah hari ini.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sebelum ini telah berkenan memberikan pengampunan bersyarat kepada Najib yang membolehkannya menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.
Bagaimanapun peguam Najib dalam satu kenyataan baru-baru ini memberitahu, Najib akan kekal di Penjara Kajang ketika ini memandangkan keupayaannya untuk membayar denda RM50 juta berada di luar kawalan beliau.
Ini kerana sebahagian sebahagian besar aset, akaun bank dan hartanah Najib masih tertakluk kepada perintah pembekuan dan prosiding penguatkuasaan oleh kerajaan serta pelupusannya pada masa ini bukan di bawah kawalan tunggal beliau.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi menetapkan 14 Oktober depan untuk mendengar permohonan Najib bagi menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion susulan sabitannya dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Pada 26 Disember lalu, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion terhadap Najib dalam kes 1MDB.
Susulan itu, pada 29 Disember tahun lepas, Najib memfailkan notis rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan berkenaan. Bagaimanapun, beliau tidak memohon penangguhan pelaksanaan keputusan tersebut.
Najib, 73, akan menjalani hukuman penjara keseluruhan selama 15 tahun selepas mahkamah memerintahkan semua hukuman penjara berjalan serentak.
Hukuman itu akan berkuat kuasa selepas Najib menamatkan hukuman penjara enam tahun dalam kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International yang berakhir pada 23 Ogos 2028.
Sementara itu, pada sidang media yang sama, Shafee memberitahu, bekas Ahli Parlimen Pekan itu masih belum menerima surat rasmi pengampunan bersyarat Yang di-Pertuan Agong bagi membolehkan beliau menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah.
Pasukan guaman juga, kata Shafee, belum menerima surat yang menetapkan syarat pengampunan berkenaan.
“Yang di-Pertuan Agong sudah membuat keputusan secara prerogatif, orang yang paling mustahak ialah Datuk Seri Najib sebab dia adalah orang yang dikenakan penjara, dikenakan penahanan rumah, tetapi hingga ke hari ini dia belum mendapat surat itu.
“Kita tak tahu, kenapa surat itu begitu lambat, penjara (Jabatan Penjara) pun tidak dapat,” katanya.
Jelasnya, hari ini merupakan hari kelapan sejak Najib mendapat pengampunan bersyarat tersebut.
“Hari kelapan, pelik. Kelewatan ini menjejaskan tindakan seterusnya pasukan guaman kerana kami tidak mengetahui syarat penuh yang terkandung dalam dokumen rasmi berkenaan,” katanya. – 25 September, 2026
