◉ HEADLINES

Tambang KLIA Ekspres, Transit meningkat mulai Jan 2026, perjalanan KL Sentral -KLIA naik RM65

3:43 PM MYT

 

KUALA LUMPUR — Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) melaras semula tambang perkhidmatan KLIA Ekspres dan KLIA Transit mulai 1 Januari 2027, dengan tambang standard sehala bagi penumpang dewasa antara KL Sentral dan Terminal 1 serta Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) naik daripada RM55 kepada RM65.

ERL berkata pelarasan tambang itu dibuat selepas 11 tahun sejak semakan terakhir pada 2016, susulan peningkatan ketara dalam kos operasi dan penyelenggaraan, selaras dengan perjanjian konsesinya dengan kerajaan, lapor Bernama.

Ketua Pegawai Eksekutif ERL Datin Noormah Mohd Noor berkata semakan tambang itu mencerminkan realiti pengendalian dan penyelenggaraan perkhidmatan rel lapangan terbang berkualiti tinggi, selain memastikan sistem itu kekal dalam keadaan baik bagi memberi perkhidmatan kepada penumpang dalam jangka panjang.

“Sejak beberapa tahun lalu, KLIA Ekspres dan KLIA Transit terus menyediakan perkhidmatan yang selamat, boleh dipercayai dan selesa, di samping menguruskan peningkatan kos operasi.

“Pelarasan tambang ini akan menyokong usaha kami untuk mengekalkan standard perkhidmatan yang tinggi dan melabur dalam penambahbaikan bagi meningkatkan pengalaman penumpang, dan kami kekal komited untuk menyediakan hubungan terpantas dan paling dipercayai antara KL Sentral dan KLIA,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Di bawah struktur tambang yang disemak semula, tambang sehala penumpang dewasa antara KL Sentral dan Terminal 1 atau Terminal 2 KLIA ialah RM65, manakala tambang bagi kanak-kanak berusia enam hingga 15 tahun ialah RM29.

Tambang pergi balik bagi laluan yang sama ialah RM118 untuk dewasa dan RM53 untuk kanak-kanak berusia enam hingga 15 tahun. Kanak-kanak berusia bawah enam tahun akan terus menikmati perjalanan percuma.

ERL berkata tambang bagi laluan lain turut akan diselaraskan, dengan tambang sehala dewasa dari KL Sentral ditetapkan pada RM7.70 ke Bandar Tasik Selatan, RM16.60 ke Putrajaya dan Cyberjaya, serta RM21.60 ke Salak Tinggi.

Bagi perjalanan antara stesen perantaraan, tambang dewasa ialah RM9.50 antara Bandar Tasik Selatan dan Putrajaya serta Cyberjaya, RM14.70 antara Bandar Tasik Selatan dan Salak Tinggi, dan RM5.60 antara Putrajaya dan Cyberjaya serta Salak Tinggi.

Tambang antara Bandar Tasik Selatan dan Terminal 1 atau Terminal 2 KLIA ialah RM45.40, manakala perjalanan dari Putrajaya dan Cyberjaya ke Terminal 1 atau Terminal 2 KLIA berharga RM11.50.

Penumpang yang melakukan perjalanan antara Salak Tinggi dan Terminal 1 atau Terminal 2 KLIA akan dikenakan tambang RM5.80, manakala tambang antara Terminal 1 dan Terminal 2 KLIA kekal RM2.

Bagi kanak-kanak berusia enam hingga 15 tahun, tambang sehala adalah antara RM1 hingga RM20.50 bergantung kepada laluan, manakala kanak-kanak berusia bawah enam tahun akan terus menikmati perjalanan percuma.

ERL berkata pihaknya sedang bekerjasama rapat dengan pelbagai rakan niaga untuk meneroka diskaun tiket eksklusif sehingga 30 peratus mulai Januari 2027, sekali gus membolehkan penumpang menikmati penjimatan lebih besar bagi perjalanan mereka.

Syarikat itu berkata maklumat lanjut mengenai tawaran diskaun berkenaan akan diumumkan setelah urusan tersebut dimuktamadkan.

Tahun ini menandakan ulang tahun ke-24 perkhidmatan ERL yang menghubungkan Terminal 1 dan Terminal 2 KLIA dengan pusat bandar. Syarikat itu berkata perkhidmatannya telah membawa lebih 141 juta penumpang setakat ini. – 30 September, 2026

Topics

 

◉ Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Short-lived La Niña expected in early 2026, but stable weather to follow

MetMalaysia forecasts cool conditions and brief shifts in rainfall patterns before returning to normal

◉ Related