◉ HEADLINES

Pindaan Akta 800 Perkeso berkuasa hari ini, ‘talian hayat’ 7 juta pencarum

Bagi mereka yang berdepan ujian kehilangan mata pencarian bermula hari ini, pindaan Akta 800 secara rasmi menawarkan jaringan keselamatan baharu melalui peningkatan elaun, dana latihan serta bantuan mobiliti RM1,000 buat pekerja yang mahu kembali membina kehidupan

4:25 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pekerja tempatan yang berdepan ujian hilang mata pencarian kini mendapat talian hayat lebih kukuh apabila Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menguatkuasakan kadar faedah baharu di bawah Akta 800 bermula hari ini, merangkumi elaun perumahan dan ganjaran mobiliti sehingga RM1,000.

Perkeso dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pindaan Akta 800 yang diwartakan pada 15 September lepas memperkenalkan tiga penambahbaikan faedah utama bagi mengukuhkan perlindungan sosial pekerja.

Penambahbaikan tersebut merangkumi peningkatan kadar Elaun Bekerja Semula Awal (EBSA) kepada 50 peratus daripada baki Elaun Mencari Pekerjaan (EMP) berbanding 25 peratus sebelum ini.

Selain itu, had maksimum Fi Latihan dinaikkan kepada RM7,000 berbanding RM4,000, manakala Elaun Latihan dinaikkan kepada RM30 sehari.

Pindaan itu turut memperkenalkan faedah baharu iaitu Elaun Bantuan Mobiliti (EBM) sebanyak RM1,000 secara sekali bayar (one-off).

Bantuan ini diberikan kepada pencarum yang hilang pekerjaan dan menerima faedah Skim Insurans Pekerjaan (SIP), sebelum mendapat kerja baharu di lokasi yang berjarak melebihi 100 kilometer dari tempat kediaman.

Perkeso memaklumkan penambahbaikan yang menyediakan faedah secara purata RM3,300 bagi setiap individu itu bakal memberi manfaat kepada lebih tujuh juta pencarum serta diyakini mampu merancakkan pasaran buruh negara.

“Penyediaan ekosistem serba lengkap yang dipacu oleh perkhidmatan pemadanan kerjaya melalui portal pekerjaan negara MYFutureJobs, khidmat nasihat kerjaya, latihan semula, peningkatan kemahiran dan sokongan mobiliti ini sekali gus mampu menjamin kelangsungan sosioekonomi masyarakat,” menurut pertubuhan itu.

Pindaan terhadap Akta 800 ini juga melengkapkan agenda Kerajaan Madani ke arah mengukuhkan perlindungan sosial secara lebih menyeluruh, selari dengan pelaksanaan LINDUNG 24 Jam sejak 1 Jun lalu.

“Keseluruhannya, Perkeso bertekad agar perlindungan sosial bergerak seiring perubahan dunia pekerjaan, bukan sekadar membantu pencarum ketika kehilangan pekerjaan, malah juga memastikan mereka mempunyai kemahiran, peluang dan sokongan untuk kembali bekerja dengan lebih cepat.

“Melalui pindaan dan penambahbaikan ini, setiap pencarum yang terjejas bukan sahaja dilindungi, malah turut dibantu untuk bangkit, kembali produktif dan membina kehidupan yang lebih terjamin,” tambah kenyataan itu.

Pencarum yang terjejas boleh membuat permohonan faedah secara dalam talian menerusi portal LINDUNG Kerjaya di alamat https://lindungkerjaya.perkeso.gov.my/ atau hadir ke mana-mana kaunter Perkeso berhampiran. – 1 Oktober, 2026

Topics

 

◉ Hangat

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

National shuttlers demand RM2 million salaries: can BAM keep up financially?

Several top athletes aim for salaries that could outpace even the highest-earning footballers, raising questions about the sustainability of funding within Malaysian sports

Short-lived La Niña expected in early 2026, but stable weather to follow

MetMalaysia forecasts cool conditions and brief shifts in rainfall patterns before returning to normal

◉ Related