◉ HEADLINES

Pengampunan bersyarat diperkenan Agong berbeza perintah tahanan rumah dikeluarkan mahkamah: Saifuddin

Pengampunan bersyarat merupakan prerogatif pengampunan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan pelaksanaannya tertakluk kepada keputusan serta syarat yang ditetapkan pihak berkuasa pengampunan yang berkenaan

10:23 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pengampunan bersyarat yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong adalah berbeza daripada perintah tahanan rumah yang dicadangkan di bawah Rang Undang-Undang Tahanan Rumah.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ini kerana pengampunan bersyarat merupakan prerogatif pengampunan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan pelaksanaannya tertakluk kepada keputusan serta syarat yang ditetapkan pihak berkuasa pengampunan yang berkenaan.

“Oleh itu, sesuatu penempatan di rumah yang dibuat berikutan keputusan pengampunan bersyarat tidak boleh disamakan secara langsung dengan perintah tahanan rumah yang dikeluarkan oleh mahkamah di bawah suatu akta khusus,’’ katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.

Beliau menjawab soalan Lim Lip Eng (DAP-Kepong) yang ingin mengetahui bilangan perintah tahanan rumah yang pernah dikeluarkan, sama ada seseorang yang dikenakan tahanan rumah diwajibkan pemantauan CCTV, memakai alat pemantauan elektronik seperti gelang kaki elektronik atau peranti khas lain serta jenis pelawat yang dibenarkan melawat individu berkenaan.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, bagi pengampunan bersyarat, apa-apa syarat berkaitan kawalan, pemantauan pergerakan, lawatan atau perkara-perkara lain adalah tertakluk kepada keputusan dan syarat ditetapkan serta prosedur pelaksanaan yang berkuat kuasa.

Sebagai contoh, katanya dalam pelaksanaan keputusan pengampunan bersyarat yang melibatkan banduan perlu berada di kediaman, aspek seperti lawatan, kawalan dan pemantauan pergerakan perlu diperincikan melalui prosedur operasi standard yang berkaitan.

Saifuddin turut memberitahu, pada masa ini belum ada perintah tahanan rumah yang dikeluarkan di bawah suatu undang-undang khusus mengenai tahanan rumah, memandangkan penggubalan rang undang-undang berhubung tahanan rumah masih dalam proses pemuktamadan dan semakan perundangan oleh Jabatan Peguam Negara.

Bagaimanapun, ujar beliau, kerajaan pada dasarnya bersetuju mewujudkan suatu kerangka perundangan bagi membolehkan tahanan reman yang memenuhi syarat-syarat tertentu dipertimbangkan untuk menjalani tahanan di rumah sebagai alternatif kepada penempatan di penjara sementara menunggu perbicaraan.

“Bagaimanapun, perkara berkaitan kewajipan pemasangan CCTV, pemakaian gelang kaki elektronik atau peranti pemantauan khusus, serta kategori pelawat yang dibenarkan, masih belum dapat dimuktamadkan pada masa ini.

“Ini kerana aspek-aspek tersebut tertakluk kepada peruntukan undang-undang, peraturan dan prosedur operasi standard yang sedang dimuktamadkan,’’ katanya. – 7 Oktober, 2026

Topics

 

◉ Hangat

DoSM estimates Malaysia’s population to be 34.1 mil in 2024

Three states with the highest population are Selangor, Johor, Sabah

Spotify hikes Premium subscription fees by RM1 to RM3 in Malaysia

Subscribers will face higher monthly payments across all Premium plans, effective from September

It’s not Big Tobacco, but Big Pharma that’s behind vape ban push: industry leader

Move president warns of harm to public health and legal vape industry if proposed nationwide ban goes ahead

◉ Related