◉ HEADLINES

Gaji minimum: Pelaksanaan mulai 1 Jun 2027 beri masa majikan buat persediaan – MEF

Syed Hussain berkata perusahaan kecil sering berdepan margin keuntungan lebih rendah, peningkatan kos operasi, akses pembiayaan yang terhad serta cabaran produktiviti, justeru keupayaan kewangan perniagaan perlu diambil kira dalam pelaksanaan dasar gaji minimum

8:41 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) mengalu-alukan keputusan kerajaan memberikan masa sehingga 1 Jun 2027 kepada majikan untuk membuat persediaan sebelum pelaksanaan gaji minimum sebanyak RM2,000 .

Ini kerana, kata Penasihat Kanan Hubungan Kerajaan, Media dan Antarabangsa MEF, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman, tempoh peralihan itu membolehkan perniagaan menilai implikasi kewangan serta melakukan persiapan operasi yang diperlukan.

Beliau memberitahu, tempoh persediaan yang mencukupi penting bagi membolehkan majikan khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menyesuaikan diri dengan pelarasan gaji itu dan pada masa sama, meminimumkan gangguan terhadap peluang pekerjaan dan operasi perniagaan.

Jelasnya, perusahaan kecil sering berdepan margin keuntungan lebih rendah, peningkatan kos operasi, akses pembiayaan yang terhad serta cabaran produktiviti, justeru keupayaan kewangan perniagaan perlu diambil kira dalam pelaksanaan dasar gaji minimum.

“Kita perlu memastikan kenaikan gaji minimum ini membawa kepada peningkatan taraf hidup, bukannya pengurangan peluang pekerjaan.

“Matlamatnya ialah untuk meningkatkan pendapatan pekerja secara mampan di samping membolehkan perniagaan kekal berdaya saing, meneruskan pengambilan pekerja dan melabur dalam produktiviti. Melindungi keupayaan PMKS agar terus bertahan dan berkembang bermakna melindungi peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Bajet 2027 berkata kerajaan bersetuju kadar gaji minimum dinaikkan daripada RM1,700 kepada RM2,000 berkuat kuasa Jun 2027, sekali gus memberikan manfaat kepada lebih empat juta pekerja.

Bagaimanapun Anwar berkata, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan hasil jualan di bawah RM50 juta dikecualikan daripada pelaksanaan kadar baharu itu bagi memberi ruang untuk penyesuaian model perniagaan.

Mengulas lanjut, Syed Hussain berkata kelayakan yang jelas dan garis panduan pelaksanaan yang telus amat penting bagi menentukan perniagaan yang layak mendapat pengecualian dicadangkan termasuk penjelasan mengenai kaedah penilaian had hasil jualan tahunan RM50 juta.

Beliau berkata MEF turut mengambil maklum mesej Perdana Menteri bahawa majikan yang mencatat prestasi baik dan mempunyai kemampuan wajar membayar gaji melebihi kadar minimum kerana pekerja adalah aset paling bernilai bagi sesebuah syarikat.

Justeru, katanya, pemberian ganjaran yang adil adalah pelaburan penting bagi menarik bakat, meningkatkan produktiviti, memperkukuh komitmen pekerja serta menyokong pertumbuhan perniagaan.

Syed Hussain turut menghargai usaha Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan yang memperjuangkan pengecualian bagi PMKS dengan hasil jualan tahunan di bawah RM50 juta.

“Ini adalah inisiatif yang tepat pada masanya dan pragmatik kerana mengambil kira realiti yang dihadapi perniagaan berskala kecil,” katanya. – 9 Oktober, 2026

Topics

 

◉ Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

Cleared for layoffs? AirAsia to retrench 20% of workforce in major cost-cutting move

This allegedly involves cabin services, cargo and logistics, engineering and maintenance, as well as the commercial division, according to Scoop’s source

◉ Related