KUALA LUMPUR – Tabung Pos dengan dana permulaan sebanyak RM150 juta dijangka beroperasi pada suku pertama 2027, bagi memastikan kelangsungan perkhidmatan pos, khususnya perkhidmatan di kawasan luar bandar, pedalaman dan pulau, kata Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Menurut Fahmi, tabung itu akan diselenggarakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi memastikan perkhidmatan di bawah Obligasi Perkhidmatan Sejagat (USO), terutama penghantaran surat ke kawasan yang mempunyai tahap kesalinghubungan rendah dapat dilaksanakan dengan lancar.
“Penubuhan Tabung Pos menggunakan prinsip yang sama seperti Tabung Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP) bagi sektor telekomunikasi, dengan peruntukan berkaitan sudah termaktub dalam Akta Perkhidmatan Pos sejak 2012.
“Walaupun tabung ini sudah lama ada dalam akta, namun tidak pernah ada kerajaan sebelum ini yang berusaha untuk mewujudkannya, kecuali Kerajaan Madani,” lapor Bernama.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sambutan Hari Pos Sedunia di sini, hari ini.
Menurut Fahmi, skop penggunaan tabung itu juga akan diteliti supaya tidak terhad kepada perkhidmatan pos semata-mata, sebaliknya merangkumi keperluan penghantaran barangan ke kawasan terpencil yang jauh dari bandar.
Kementerian Komunikasi dan MCMC juga akan meneliti langkah bagi memastikan kelangsungan serta kelestarian ekosistem pos dan kurier, yang telah beroperasi di Malaysia selama lebih 200 tahun, selaras dengan perkembangan teknologi, ekonomi digital dan e-dagang.
Beliau berkata penyesuaian dasar, undang-undang dan operasi diperlukan bagi memastikan industri berkenaan terus berdaya saing, selain menjaga kebajikan pekerja melalui gaji dan pampasan pekerjaan yang sewajarnya.
MCMC telah memulakan proses libat urus dengan syarikat penyedia perkhidmatan e-dagang, yang akan disusuli dengan syarikat kurier utama serta badan kawal selia dan penguatkuasaan, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah Kebangsaan.
Beliau berkata penyelarasan itu penting bagi menangani aduan berkaitan perkhidmatan e-dagang dan penghantaran barangan dengan lebih berkesan.
Semalam, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Bajet 2027 berkata Rang Undang-Undang (RUU) E-Dagang akan dibentangkan pada mesyuarat Parlimen akan datang bagi memperkukuh akauntabiliti platform dan penjual dalam talian selain melindungi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan daripada persaingan tidak adil. – 10 Oktober, 2026
