KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat dakwaan rasuah berjumlah RM350,000 yang dikaitkan dengan seorang pegawai kanannya dan tular baru-baru ini.
SPRM dalam kenyataannya berkata, isu berkenaan pernah disiasat pada 2018 dan kes terbabit ditutup selepas tiada sebarang kesalahan berjaya dibuktikan.
Bagaimanapun, kata SPRM, dengan gesaan serta penularan semula isu terbabit, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman telah mengarahkan agar pasukan khas ditubuhkan dengan kadar segera bagi menyemak dan meneliti semula perkara ini.
‘Langkah ini diambil untuk memastikan integriti SPRM terus terpelihara dan keyakinan masyarakat terhadap institusi ini tidak tergugat,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut SPRM, ia memandang serius dakwaan terbabit dan menegaskan tidak akan berkompromi dalam isu yang boleh menjejaskan kredibiliti suruhanjaya itu.
Semua pihak, katanya diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi serta tidak menyebarkan berita yang belum dipastikan kesahihannya. – 10 Oktober, 2026
