◉ HEADLINES

Najib gagal tangguh hukuman penjara 15 tahun, denda RM11.4 bilion dalam kes 1MDB

4:13 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak gagal dalam permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion susulan sabitannya dalam kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Hakim Mahkamah Tinggi Noor Ruwena Md Nurdin menolak permohonan itu selepas mendengar hujahan peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ahmad Akram Gharib.

Beliau juga berpuas hati Najib, 73, gagal mengemukakan keadaan khas dan luar biasa bagi mewajarkan permohonan itu dibenarkan.

“Saya lebih bersetuju dengan hujah Timbalan Pendakwa Raya bahawa tahap keseriusan kesalahan adalah pertimbangan kepentingan awam yang lebih penting dan perlu diambil kira oleh mahkamah ini.

“Pemohon bukan lagi pesalah kali pertama apabila beliau disabitkan dengan kesalahan oleh hakim perbicaraan dalam kes 1MDB yang berkaitan,” katanya.

Beliau juga berkata mahkamah tidak bersetuju bahawa isu kesihatan yang dibangkitkan memenuhi ujian keadaan luar biasa kerana laporan perubatan yang dikemukakan memberi gambaran keperluan perubatan Najib telah dijaga dengan baik oleh pihak kerajaan, hospital dan pakar perubatan.

Pada 26 Disember tahun lepas, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion terhadap Najib dalam kes 1MDB.

Jika gagal membayar denda tersebut, hukuman penjara Najib boleh ditambah 10 tahun lagi bagi setiap pertuduhan itu.

Bagi pertuduhan salah guna kuasa, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun bagi setiap pertuduhan serta denda keseluruhan RM11.4 bilion, dan jika gagal dibayar, penjara 40 tahun.

Untuk 21 pertuduhan pengubahan wang haram pula, beliau dijatuhi hukuman penjara lima tahun bagi setiap pertuduhan tanpa sebarang denda tambahan.

Najib, akan menjalani hukuman penjara keseluruhan selama 15 tahun selepas mahkamah memerintahkan semua hukuman penjara berjalan serentak.

Hukuman itu akan berkuat kuasa selepas Najib menamatkan hukuman penjara enam tahun dalam kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International yang berakhir pada 23 Ogos 2028.

Bulan lepas, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan memberikan pengampunan bersyarat kepada Najib yang membolehkannya menjalani baki hukuman secara tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta. – 14 Oktober, 2026

Topics

 

◉ Hangat

Budget 2026: RM580m boost for sports development

Funding will strengthen elite programmes, prepare for the 2027 SEA and Asean Para Games, and upgrade facilities while expanding support for para-athletes

‘Tambah spot busking di Bukit Bintang’ Bob Sentuhan Buskers mohon DBKL beri pertimbangan

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diminta menambah lagi ‘spot’ untuk pemuzik jalanan di ibu kota mengadakan persembahan terutama di kawasan sekitar Bukit Bintang yang menjadi tumpuan pelancong luar.

Noki K-Clique sedang mengenali seorang pelakon wanita, rancang berkahwin usia 30 pada tahun hadapan

Melihat rakan-rakan seperjuangan lain sudah mendirikan rumahtangga, ia membuatkan rapper dan juga pelakon, Noki K-Clique berasa tertekan serta mahu mengikut jejak langkah yang sama

◉ Related