KUALA LUMPUR – Proses penahanan seorang lelaki berusia 40-an yang dilaporkan meninggal dunia di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), baru-baru ini, dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata, suspek dilaporkan tidak sihat semasa berada di dalam tahanan dan dibawa ke hospital berkenaan untuk rawatan lanjut.
“Suspek disahkan meninggal dunia pada 1.52 pagi 1 Oktober semasa menerima rawatan di hospital itu,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Sebelum ini, Lawyers for Liberty (LFL) mendesak polis menyiasat kematian itu sebagai kes bunuh susulan dakwaan kecederaan serius pada tubuh lelaki tersebut.
Media melaporkan, keluarganya pula mendakwa mereka tidak dimaklumkan mengenai penahanan lelaki berkenaan sejak ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras pada September lalu.
Lebih mengecewakan, kata mereka, keluarga hanya menerima berita kematian Noorizwan daripada seorang pegawai Bukit Aman pada malam 1 Oktober lalu.
Mengulas lanjut, Fadil memberitahu, polis masih menunggu laporan penuh Jabatan Kimia dan patologi bagi melengkapkan siasatan kes kematian berkenaan.
Siasatan lanjut kes itu, katanya, kini dikendalikan sepenuhnya secara bebas dan terperinci oleh Unit Siasatan Jenayah Kematian Dalam Tahanan (USJKT) Bukit Aman bersama dengan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS).
Beliau turut memaklumkan lelaki itu ditahan bagi membantu siasatan berhubung tiga laporan polis berkaitan kes dadah dan jenayah.
“Semakan rekod mendapati si mati mempunyai 44 rekod jenayah lampau, iaitu 18 berkaitan dadah dan 26 kesalahan jenayah selain terdapat pengakuan yang menghubungkannya dengan 17 kes pecah rumah serta curi di sekitar Cheras,” katanya.
Fadil turut menasihati semua pihak supaya tidak membuat sebarang ulasan atau spekulasi berhubung kes itu kerana penyebaran maklumat tidak sahih bukan sahaja boleh mengelirukan, malah berpotensi menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
“Siasatan dijalankan dari pelbagai sudut dengan mengambil kira semua bukti yang diperlukan. Kita minta semua pihak bersabar dan memberikan ruang kepada polis untuk melengkapkan siasatan,” katanya. – 15 Oktober, 2026
