KUALA LUMPUR – Seorang bekas menteri ditangkap khalwat bersama seorang wanita dipercayai pengasas pertubuhan bukan kerajaan (NGO) oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), semalam.
Perkara itu disahkan Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad, dalam satu kenyataan berhubung kesalahan khalwat membabitkan figura awam yang dilakukan di sekitar daerah Petaling pada jam 6 petang, semalam.
Mohd Shahzihan berkata, individu itu yang juga pemimpin sebuah parti politik berusia 44 tahun dilaporkan ditahan pada jam 6 petang di Petaling Jaya, Selangor, sebelum kedua-duanya dibawa ke Pejabat JAIS di Shah Alam bagi proses dokumentasi.
Siasatan bawah enakmen Jenayah Syariah
Beliau berkata, dua individu berkenaan ditahan bagi membantu siasatan berhubung kesalahan yang disyaki dilakukan di bawah Seksyen 29 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.
“Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
“Sehubungan itu, JAIS menasihatkan umat Islam agar tidak mengaibkan mana-mana individu dengan menjadikannya bahan spekulasi, perdebatan dan fitnah dalam apa juga cara,” tegasnya. – 16 Oktober, 2026
