KUALA LUMPUR – Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026 yang meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333] berkuat kuasa hari ini, dengan antaranya melibatkan peruntukan baharu di mana lumba haram dan tonto dikenakan hukuman berat termasuk denda dan hukuman penjara.
Kementerian Pengangkutan (MOT) berkata, antara perubahan utama ialah pengenalan Seksyen 42A yang menjadikan perbuatan berlumba atau menguji kelajuan di jalan raya sebagai kesalahan khusus, membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil tanpa menunggu berlakunya kemalangan, kecederaan atau kehilangan nyawa.
“Di bawah seksyen itu, pesalah boleh didenda antara RM2,000 hingga RM10,000 atau dipenjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya bagi sabitan kali pertama manakala bagi sabitan kedua atau seterusnya ialah denda antara RM5,000 hingga RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.
“Selain itu, akta itu turut memperkenalkan Seksyen 110B bagi menangani kegiatan tonto yang menghalang atau mengganggu operasi penguatkuasaan termasuk mengekori kenderaan penguat kuasa dan menyalurkan maklumat operasi,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut MOT, pindaan lain ialah memperkukuh akauntabiliti pemunya berdaftar bagi kesalahan yang dikesan melalui kamera penguatkuasaan termasuk sistem penguatkuasaan automatik.
“Pindaan ini bertujuan menutup kelompongan undang-undang yang boleh menyebabkan pihak tertentu mengelak tanggungjawab terhadap kesalahan yang dilakukan menggunakan kenderaan mereka,” menurut kenyataan itu.
Pindaan itu juga, kata MOT bagi memperkukuh asas perundangan bagi penggunaan lesen, dokumen, rekod dan notis elektronik serta membuka ruang kepada pelaporan kemalangan secara digital mengikut tatacara yang ditetapkan.
Selain itu, kawal selia keselamatan kenderaan elektrik, kenderaan yang diubah suai, komponen kenderaan dan kenderaan mikromobiliti turut diperkemas.
Menurut kenyataan, MOT percaya pelaksanaan pindaan Akta 333 akan memperkukuh keupayaan agensi penguat kuasa dalam membanteras kegiatan yang membahayakan keselamatan jalan raya dan memudahkan urusan rakyat melalui penggunaan teknologi serta perkhidmatan digital.
MOT juga memaklumkan pelaksanaan peningkatan had maksimum kompaun bagi kesalahan boleh dikompaun daripada tidak melebihi RM300 kepada tidak melebihi RM500 akan dilaksanakan bermula 1 Jan 2029 bagi memberikan tempoh peralihan yang mencukupi kepada pengguna jalan raya.
“MOT ingin menjelaskan peningkatan had maksimum kompaun itu tidak bermaksud semua kesalahan trafik akan dikenakan kompaun sebanyak RM500 secara automatik. Amaun kompaun yang ditawarkan adalah tertakluk kepada jenis kesalahan serta kaedah yang ditetapkan di bawah Akta 333.
“Langkah itu bertujuan meningkatkan tahap pematuhan undang-undang dan memberikan kesan pencegahan yang lebih berkesan, bukannya untuk membebankan rakyat atau meningkatkan kutipan hasil kerajaan,” katanya. – 16 Oktober, 2026
